Jika anda ke Pasir Gudang, Johor jangan lupa singgah ke Kedai Makan Rahmat yang menjadi lokasi popular untuk makan tengah hari mereka yang bekerja di sekitarnya. Kedai makan yang diusahakan oleh Rohaizal Rahmat dan isteri merupakan warisan turun temurun dan kekal bertahan hingga kini.
Tidak sukar untuk ke sini jika menggunakan Applikasi Waze atau pun menggunakan Applikasi Google Drive (dalam google map ). Ruang meletak kereta juga tidak menjadi persoalan kerana sering mencukupi walaupun restoran ini sentiasa penuh dengan pengunjung.
Kedai Makan Rahmat ini terletak di hujung kampung dan ia berhampiran laut. Sebahagian kedai makan ini terletak sebahagian di atas darat dan sebahagian lagi di atas air laut. Kampung Pasir Putih ini juga tidak berapa jauh dari Tanjong Puteri Golf Resort.
Apa yang menjadi kebanggaan di mana Kedai Makan Rahmat dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar pada tahun 1986. Telah hampir 30 tahun kedai ini beroperasi dan terus digemari dan menjadi salah satu destinasi pilihan untuk menjamu selera. Momen perasmian kedai serta gambar Tun Siti Hasmah ketika kunjungan ke sini turut diabadikan pada memori wall di ruang kedai. Mereka yang berkunjung ke sini boleh melihat sendiri sejarah pembukaan kedai ini dari 1985 hingga 2015.
Menu Pilihan
Sebaiknya anda membuat tempahan terlebih dahulu sebelum berkunjung ke sini. Kebiasaannya waktu yang paling sibuk ialah antara jam satu tengah hari hingga dua petang. Pasir Gudang merupakan kawasan industri, maka memang ramai pekerja di sekitar makan di sini. Kedai ini boleh memuatkan sehingga 300 orang pengunjung pada satu masa.
Setiap mereka yang berkunjung ke sini, menu utama pastinya ikan siakap goreng yang menjadi tarikan pengunjung. Ikan ini digoreng dengan sisik dan rangup. Kesegaran ikan dapat dirasai, isinya lembut dan manis. Memang makan sampai licin. Tidak hairanlah restoran ini begitu popular.
Selain itu , udang sambal antara yang enak. Udangnya segar dan masakannya sedap, tidak terlalu pedas. Udang pun bukanlah saiz kecil-kecil, Antara menu lain yang dicadangkan ialah sambal goreng tempe, pelbagai sayuran, udang goreng, sambal kacang, kupang masak lada hitam dan ketam masak sambal telur. Memang enak dan cukup segala rasa. Pihak kedai akan berikan kuah kari, sambal kicap dan juga sambal belacan sebagai pelengkap hidangan.
Sambil menjamu selera, anda dapat melihat panorama laut di sebelah kedai. Pemandangan yang tenang ini serta tiupan angin menambah selera buat pengunjung. Pengunjung juga boleh melihat aktiviti memunggah kupang di sekitarnya.
Secara kesimpulannya, makan di sini sangat memberi kepuasan dan berbaloi dengan harga . Ini membuat sesiapa yang pernah ke sini mahu berkunjung semula untuk menikmati keenakan siakap goreng begitu juga lauk pauk yang lain. Sungguh menyelerakan , kami makan dengan penuh kenikmatan.
INFO
Menu utama : Siakap goreng. Pisang disediakan percuma sebagai pencuci mulut.
Servis: Sangat cepat. Tidak menunggu masa yang lama untuk dapat hidangan yang dipesan.
Harga: Amat berpatutan.
Lokasi: No 3. Jalan Pantai, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor
Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 3.30 petang setiap hari dan ditutup pada hari Jumaat.
Kredit foto: FB Kedai Makan Rahmat