Antara makanan yang paling popular di pasar malam adalah tau fu fa. Kalau dahulu dimakan bersama gula putih, tetapi sekarang resipinya dipelbagaikan untuk pilihan pembeli. Selain gula putih, ada juga gula Melaka dan tau fu fa yang diperisakan dengan perasa pandan. Lebih kreatif, admin pernah terjumpa tau fu fa hipster dengan warna terang di satu pasar malam ni.

Memandangkan tau fu fa adalah favourite

admin, terasa nak berkongsi resipinya hari ni. Sebenarnya tidaklah susah, cuma memerlukan kesabaran dan sedikit masa untuk membuatnya. Esok hari cuti, mungkin anda boleh mencuba resipi ini di rumah.

TAU FU FA HOMEMADE

BAHAN-BAHAN:

  • 150 gram kacang soya
  • 1 liter air
  • 1 1/2 sudu besar tepung jagung *
  • 1/2 sudu kecil sekko /GDL*
  • 1/2 cawan air *
  • 2-3 helai daun pandan

CARA MEMBUAT:

  1. Rendamkan kacang soya selama 4-5 jam. Kemudian asingkan kulitnya.
  2. Bersihkan kacang soya dan dikisar bersama 1 liter air. Tapis menggunakan kain nipis.
  3. Masak air soya dengan daun pandan sehingga mendidih.
  4. Sementara itu, satukan bahan-bahan bertanda *.
  5. Apabila air soya sudah mendidih, masukkan ke dalam bekas kedap udara dan masukkan bahan-bahan bertanda * tadi. Kacau dan tutup bekas.
  6. Tunggu sehingga ½ -1 jam. Jika tau fu fa anda sudah ‘kental’, bermakna ia boleh dimakan.
  • Jangan biarkan rendaman kacang soya melebihi enam jam bagi mengelakkan ia menjadi terlalu berair.
  • Anda boleh menggunakan kain lampin untuk menapis air kacang soya.
  • GDL adalah singkatan bagi Glucono Delta Lactone (boleh didapati di pasar raya atau kedai barangan bakeri)

BAHAN AIR GULA:

  • 3 ketul gula Melaka
  • 5 sudu besar gula putih
  • 3 cawan air
  • 1 helai daun pandan

CARA MEMBUAT:
1. Didihkan semua bahan dalam periuk. Matikan api apabila sudah sedikit pekat.

*Elakkan air gula terlalu pekat kerana rasanya akan menjadi pahit.

Selamat mencuba.

sumber foto: http://bakingquinn.blogspot.my