Teknik goreng ‘pan seared’ sering digunakan bila anda ingin menggoreng ikan salmon. ‘Pan seared’ bermakna anda menggoreng di kuali yang panas dengan minyak yang sedikit dan masa yang singkat. Goreng ikan salmon ni memang berbeza daripada ikan biasa. Tetapi bagaimana nak kekalkan kepingan isi salmon tu biar berjus, lembut dan kulitnya garing? Ini caranya:
3 CARA UNTUK DAPATKAN KULIT YANG SUPER GARING
Jika filet ikan salmon digoreng ikut teknik ‘pan-seared’ yang betul kulitnya akan menjadi garing, rapuh dan berperisa. Ikuti langkah-langkah ini pasti filet salmon anda lebih lazat dan enak.
1. FILET SALMON PERLU DIBIARKAN KE SUHU BILIK
Keluarkan dari peti sejuk dan biarkan salmon 15 – 20 minit sebelum mula memasak. Ia bertujuan supaya filet salmon tidak sejuk dan berada dalam suhu bilik.
2. LAP KERING FILET SALMON
Gunakan tuala atau tisu untuk lap (tepuk-tepuk) filet hingga kering. Jika filet berada dalam keadaan basah atau lembap, ia akan melekat di kuali. Sudah tentulah kulitnya tidak garing dan masak dengan tidak sempurna.
3. PASTIKAN KUALI PANAS
Pastikan kuali betul-betul panas. Nyalakan api dalam nyalaan sederhana kepada sederhana-besar. Selepas minyak dituang, biarkan ia pijar dan baru masukkan salmon.
CARA GORENG SALMON
1. Mulakan masak dengan bahagian berkulit di bawah.
Apabila mula menggoreng, pastikan bahagian kulit diletakkan di sebelah bawah dan isi di atas. Kulitnya boleh menahan permukaan panas kuali tanpa menjejaskan tekstur isi serta melindungi salmon dari terlebih masak.
2. Bersabar lah ya…
Ini mungkin perkara yang sukar dilakukan. Apabila ikan mencecah kuali, tindakan terbaik yang boleh anda lakukan ialah bersabar menunggu ia masak. Percayalah, ikan itu akan masak, jangan usik atau cuba sentuh isinya semasa ia dalam proses masak. Tunggu filet bertukar warna dan masak, kemudian baru dibalikkan.
3. Lihat perubahan filet & jadikan ia petunjuk.
Setelah beberapa minit dimasak, warna filet salmon akan perlahan-lahan berubah. Bermula dari bawah (kulit) ke lapisan isi atas, anda akan nampak isinya akan bertukar dari warna oren terang ke warna yang lebih pucat. Perubahan ini menunjukkan progres bagaimana ikan hampir masak. Apabila warnanya telah bertukar sehingga tiga suku dari bahagian filet ( daripada lapisan bawah ke atas) itu maknanya filet itu sudah sedia untuk dibalikkan (isi ke bawah pula). Masa memasaknya lebih pendek,berbanding proses memasak di bahagian kulit.
Jika ikut peraturan ini filet salmon anda pasti lembut, tidak terlebih masak atau menjadi keras.Paling lazat, kulitnya yang super garing. – FARIDAH TALIB
Sumber teks : Kellie Foster, www.kitchn.com
Kredit foto : Christine Han
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI