Apalah susah nak goreng ikan, panaskan minyak letak ikan! Tapi kalau tak betul caranya, ada juga ikan yang digoreng tak menjadi. Ikan melekat atau hancur, atau pun ikan goreng kering sangat. Sudahnya bila sejuk ikan jadi keras.
Itu sebabnya kena tahu teknik menggoreng ikan yang betul supaya dapat hasil gorengan jadi cantik (tidak melekat pada kuali) dan ‘juicy’ (rangup di luar dan lembap di dalam).
Macam mana tekniknya? Tip kali ini bukan dari chef terkenal sebaliknya dari ahli kimia Fatimah Salim. Apa yang menarik ada ada sains yang perlu kita fahami di sebalik menggoreng ikan. Baru boleh dapat hasil gorengan ikan yang juicy.
Ramai pasti tahu yang rasa ikan goreng dipengaruhi oleh jenis ikan, kesegarannya dan bahan perapannya. Tahukah anda rasa ikan goreng juga disumbangkan oleh cara memasak serta kawalan suhu semasa memasak?
Masalah yang sering timbul ialah untuk mendapatkan hasil gorengan yang cantik (tidak melekat pada kuali) dan ‘juicy’ (rangup di luar dan lembap di dalam). Mari kita selami sains disebalik menggoreng ikan ini.
Ikan melekat pada kuali kerana permukaan ikan basah yang bersentuhan dengan permukaan kuali. Semasa mengoreng, api akan memanaskan kuali dan minyak.
Ikan yang bersentuhan dengan permukaan kuali lalu menyebabkan ikan terus mengering pada kuali dan menyebabkannya melekat. Keadaan ini akan menyukarkan proses menterbalikkan ikan dan sebahagian daripada isinya akan melekat pada kuali.
Untuk mengelakkan perlekatan ikan dengan permukaan kuali, panaskan minyak secukupnya (agak2 sehingga SEDIKIT berasap) kemudian masukkan ikan.
Disebabkan tidak larut bersama, perlanggaran antara molekul-molekul minyak dengan molekul-molekul air pada ikan akan menghasilkan bunyi gorengan yang kuat.
Minyak yang cukup panas ini akan menyebabkan air pada permukaan ikan meruap dengan cepat dan menjadikannya kering dan rangup. Maka, permukaan ikan yang bersentuhan dengan kuali tidak akan melekat.
Permukaan ikan yang rangup tadi akan menjadi selaput penghalang untuk air di dalam ikan daripada meruap seterusnya mengekalkan kelembapan (juiciness) dalam isi ikan.
Ikan haruslah dimasak SEKEJAP sahaja kerana struktur kimia ikatan protein isi ikan adalah longgar jika dibandingkan dengan daging ayam dan lembu. Maka ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak.
Memasak ikan terlalu lama akan menyebabkan lembapan dalam isi ikan meruap, seterusnya menjadikan isinya keras. Ini sesuai untuk mereka yang sukakan ikan yang rangup dan garing.
Nota: Mereka yang menggunakan kuali kali lekat tidak akan mengalami masalah perlekatan semasa menggoreng kerana teknologi selaput pelinciran telah membantu.
Mudahnya, kena panaskan kuali sehingga meruap dan digoreng sekejap saja.
Sumber: Fatimah Salim