Tercari-Cari Tempat Makan Murah, Sedap & Banyak Pilihan? Restoran D’Ranting Lokasi Wajib Tuju.

Share

Bila tibanya waktu makan tengah hari, pasti pening nak cari tempat makan yang sedap, banyak pilihan lauk pauk dan juga murah. Sebenarnya, ada banyak ‘port’ makan yang menepati kriteria diatas namun tidak diketahui ramai.

Bagi yang berada di sekitar Shah Alam, silalah berkunjung ke restoran D’Ranting yang terletak di Dataran Automobil, Seksyen 15 Shah Alam. Ini kerana, sekali anda berkunjung ke restoran ini, pastinya ia akan menjadi tempat makan pilihan anda selamanya. Ha..Nak tahu kenapa? Ada banyak sebab yang membuatkan anda jatuh cinta dengan restoran ini.

Setiap hari, terdapat lebih dari 50 jenis lauk pauk yang dihidangkan kepada para pelanggan. Ada masak lemak cili padi, lauk bersambal, hidangan daging salai, asam pedas dan banyak lagi hidangan kampung yang pastinya memecah selera. Mana tidaknya, pengalaman sang pemilik selama 16 tahun dalam bidang katering. Patutlah lauk pauknya sedap-sedap belaka!

Jika anda teringin sangat nak makan ikan bakar, pun ada disediakan di restoran ini. Ada ikan pari, kembung, cencaru dan banyak lagi. Semuanya dibakar panas-panas dan berasap lagi bila dihidangkan kepada anda. Malah, jika rasa nak makan nasi kukus, pun ada dijual disini. Pendek kata, hanya di satu lokasi sahaja, ada banyak sajian yang anda boleh cuba.

Selain itu, kalau anda nak tahu, lauk yang menjadi kegilaan ramai di restoran ini ialah cendawan goreng tepung. Memang diserbu sampaikan ada pelanggan yang sanggup menunggu semata-mata untuk mendapatkan hidangan cendawan goreng tepung ini sahaja. Rasanya yang segar, pedas-pedas dan rangup. Alahai…Memang sedap gila! Tak cukup dengan makan di restoran, ada yang ‘tapau’ bawa balik. Perghhh..Padu! Bayangkan, sewaktu sesi pengambaran ini dijalankan, satu bekas penuh cendawan diletak, sekelip mata sahaja dah habis dibeli pelanggan.

Menurut pemiliknya, setiap hari anggaran 14kg cendawan digunakan untuk menghasilkan cendawan goreng tepung ni dan semuanya habis dijual dalam waktu makan tengah hari sahaja. Wow! Anda boleh bayangkan betapa sedapnya hidangan ini. Selain cendawan, ada juga disediakan udang goreng tepung, sotong goreng tepung, ikan bawal putih goreng tepung dan banyak lagi. Di sebelah petang pula, restoran D’Ranting menyediakan sajian masakan panas. Terdapat pelbagai hidangan yang boleh anda cuba dan pastinya tidak mengecewakan selera anda. Harganya? Pastinya murah dan berbaloi dengan apa yang anda nikmati.

Bagi anda yang nak rasai sendiri keenakan hidangan di restoran D’Ranting, bolehlah berkunjung ke ke sini pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 7.30 pagi hingga 12 malam. Jika nak nikmati keenakan cendawan goreng, pastikan anda datang pada waktu makan tengah hari bermula 11.30 pagi.  Selamat mencuba!

 

 

INFO RESTORAN:

Restoran D’Ranting

Jalan Pahat H 15/H, Dataran Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

 

MESTI  CUBA:

Cendawan Goreng Tepung, Aneka Ikan Bakar, Nasi Kukus, Nasi Bujang, Masak Lemak Cili Api Daging Salai.

 

Published by
Nur