Terliur Tengok Chef Wan Masak Bihun Goreng & Kuih Keria Untuk Ummie Aida.

Share

Demi kegemaran Ummie Aida, Datuk Chef Wan sanggup menyediakan kuih Keria yang sudah hampir 40 tahun dibuat oleh beliau tidak membuat kuih tradisi ini.  Namun pengalaman sebagai chef dan dibantu oleh Ummie Aida, kuih Keria yang dihasilkan  tetap menjadi dan sungguh sedap. Semua ini hanya dalam program Rasa Nostalgia Ramadan yang dihoskan oleh Chef Wan.

“Saya suka kuih keria dan pernah cuba buat beberapa kali, bab menguli dan membantuk kuih keria, memang tip top tapi bila menyira tu yang selalu gagal walaupun tengok mak buat banyak kali, gula tetap  tak melekat cantik pada kuih. Beruntung bila Chef Wan jemput saya memasak bersamanya dalam program ni. Sambil masak, bolehlah saya ambil kesempatan belajar menyira kuih Keria,” cerita Ummie yang begitu seronok menjadi selebriti tamu Chef Wan.

Menyentuh masakan  berbuka puasa yang menjadi nostalgia Ummie  adalah Bihun Goreng  yang dibuat oleh ibunya.  Kata Ummie kalau tak ada Bihun Goreng, macam tak lengkap  berbuka.  Ada sikit pun jadilah, janji ada.

“Dari kecil hingga sekarang bihun goreng tetapi menjadi menu wajib ada Ummie.  Tapi air tangan mak memang tak boleh lawan sedapnya dan tak reti  jemu, sebab saya tak suka sangat berbuka dengan nasi dan kurang dengan lauk pauk.

“Bagi saya asal ada bihun goreng dan kuih yang manis dan sempurnalah berbuka puasa. Kuih Keria, paling suka. Seronok sangat bila Chef Wan masak Bihun Goreng Tomyam, nampak sedap, meriah dengan isiannya,” ujar Ummie Aida akan masuk dapur menyediakan juadah berbuka suami dan anak-anak bila ada kesempatan.

BIHUN GORENG TOMYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm bihun | celur seketika dan tos
  • 200gm udang | buang kulit
  • 2 keping fish cake
  • 3 keping tauhu | goreng dan hiris
  • 200gm tauge | buang ekor, cuci dan tos
  • 100gm daun kucai |potong 2cm
  • 250gm air rebusan kulit udang
  • 3 sudu makan udang kering | cuci dan kisar kasar
  • 3 sudu makan pes cili kering
  • 4 sudu makan sos tiram
  • 4 sudu makan sos ikan
  • 2 sudu makan tauchu
  • 1 biji limau nipis | ambil jus sahaja
  • 6 ulas bawang putih | cincang kasar
  • 2 sudu makan perencah tomyam
  • 1 batang serai | hiris halus
  • 1batang bunga kantan | hiris
  • 3 helai daun limau purut | hiris halus
  • Gula secukup rasa
  • Garam jika perlu
  • 4 sudu makan minyak masak

BAHAN HIRISAN UNTUK HIASAN

  • 2 biji cili merah | hiris
  • Daun bawang | hiris
  • Daun ketumbar | hiris
  • Telur dadar | hiris halus

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan hirisan serai, diikuti pes cili kering, daun limau purut dan udang kering, tumis hingga sebati.
  3. Masukkan pula, udang, fisih cake, kacau rata dan masukkan pes tomyam, tauchu dan sedikit air rebusan kulit udang.
  4. Masukkan bihun, kacau rata dan perasakan dengan sos tiram dan sos ikan, kacau rata.
  5. Jika bihun masih keras tambah lagi air rebusan kulit udang tadi.
  6. Setelah lembut masukkan hirisan tauhu, tauge, kucai, hirisan daun limau purut dan bunga kantan. Gaul rata lagi.
  7. Akhir sekali perasakan dengan sedikit garam dan gula secukupnya.
  8. Tutup api, Masukkan bihun dalam pinggan dan hias dengan bahan-bahan hirisannya dan sedia dihidangkan.

KUIH KERIA

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm keledek | buang kulit
  • 1cawan tepung serbaguna
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 2 sudu makan gula pasir
  • Secubit garam
  • Minyak masak secukupnya|  untuk menggoreng

BAHAN SIRA:

  • 1 cawan gula pasir
  • 1/4 cawan air

CARA MEMASAK:

  1. Keledek dipotong dadu besar, rebus hingga empuk, kemudian tos dan sejukkan.
  2. Lenyekkan ubi keledek hingga lembut.
  3. Ayak tepung serbaguna dengan serbuk penaik di dalam mangkuk berisi keledek.
  4. Campurkan gula dan secubit garam, adun hingga menjadi doh lembut.
  5. Sapukan sedikit tepung pada tangan, bentuk doh seperti kuih donat (berlubang di tengah).
  6. Panaskan minyak dalam kuali, goreng kuih keria hingga kuning keemas an.
  7. Angkat dan toskan di dalam penapis, goreng hingga habis.
  8. Dalam kuali berasingan, masak gula dengan air dengan api perlahan hingga mendidih.
  9. Setelah air gula pekat dan berbuih.
  10. Tutup api, masukkan kuih keria dan gaul rata hingga gula melekat sepenuh pada kuih keria.
  11. Kuih keria sedia dihidangkan.

Jangan lupa tonton episod seterusnya program Rasa Nostalgia Ramadan di Astro Prima HD, jam 5 petang setiap hari (Isnin-Jumaat) dengan selebriti jemputan yang lainnya dan resipi-resipi yang lebih menarik.

 

 

 

 

 

 

Published by
Norasida Myasin