
Siapa yang tak sukakan donat gebu dan lembut kan? Paling penting, biarpun sudah lama dibuat ia tetap lembut. Kebanyakan donat memang sedap, tapi bila dah sejuk rasanya dah jadi ‘kureng’. Lepas tu liat pula. Macam mana nak buat donat agar sentiasa gebu walaupun dah lama? Kalau dimakan waktu panas pun sedap, waktu sejuk pun masih best. Resipi RASA ni paling mudah dan tidak mengelirukan. Tak perlu banyak ramuan. Cukup-cukup saja untuk menghasilkan sehingga 20-25 ketul donat gebu-gebu manja!
DONAT GEBU
BAHAN-BAHAN:
- 3 cawan tepung gandum
- 1 cawan air suam
- 2 sudu besar menetga
- 4 sudu besar gula pasir
- 3 sudu besar susu pekat
- 1 paket yis
- 1 biji telur
CARA MEMBUAT:
- Cairkan mentega dan ketepikan. Kemudian larutkan gula dan susu di dalam air suam. Masukkan yis dan sebatikan. Biar selama 10 minit.
- Pukul telur dan campurkan bersama mentega cair. Yis akan berbuih-buih pada waktu ini, Campurkan bersama mentega.
- Kemudian masukkan kesemuanya ke dalam tepung gandum dan gaul menggunakan senduk kayu. Rehatkan adunan selama 45 minit.
- Ambil adunan dan bentuk menggunakan acuan.
- Kemudian dalam minyak penuh dengan api sederhana. Balik-balikkan sehingga bertukar warna keemasan. Bolehlah diangkat.
TIP BUAT DONUT GEBU
*Pastikan acuan anda diletakkan sedikit tepung bagi mengelakkan adunan melekat padanya.
*Tip mudah untuk menyalut donat dengan gula adalah dengan meletakkannya ke dalam zip lock bag. Kemudian digoncang agar gula rata pada donat.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Khasiat Minyak Bijan Yang Ramai Orang Malaysia Tak Tahu.

Adakah anda gemar menggunakan minyak bijan dalam masakan? Kebanyakan orang menggunakan bahan ini kerana ia akan menjadikan bau masakan lebih harum dan menyelerakan. Masih ada yang bertanya tentang fungsi sebenar minyak bijan dalam masakan. Artikel ringkas ini merungkai persoalan anda.
Untuk pengetahuan anda, minyak bijan banyak digunakan di dalam resipi Tionghua, Korea dan Jepun. Baunya harum dan agak kuat. Pendek kata, kita dengan mudah akan mengecam jika sesuatu resipi ada minyak bijan di dalamnya.
Bagi anda yang kurang gemar dengan bau minyak bijan, ia boleh digantikan dengan minyak masak biasa. Selalunya minyak bijan dan biji bijan juga digunakan untuk membuat dimsum dan bebola bijan. Minyak bijan juga tinggi khasiatnya. Pakar herba ada mengatakan minyak bijan mengandungi ciri-ciri anti kanser dan anti bakteria.
Berikut adalah kebaikan minyak bijan (untuk kesihatan) yang mungkin boleh menggalakkan anda untuk lebih banyak menggunakan minyak bijan selepas ini:
KEBAIKAN MINYAK BIJAN

1. Pencegahan Diabetes
Menurut kajian, minyak bijan dikatakan dapat mengurangkan kedua-dua tekanan darah dan glukosa pada penghidap diabetes. Sebuah penyelidikan dari American Journal of Clinical Nutrition juga menunjukkan keberkesanan minyak bijan membantu perawatan kencing manis.
2. Mengurangkan Tekanan Darah
Kandungan magnesium dalam minyak bijan menunjukkan ia membantu menurunkan hipertensi atau tekanan darah.
3. Kesihatan Jantung
Biji bijan mengandungi nutrien semula jadi di dalamnya yang membantu mencegah serangan jantung.
4. Anti Kanser
Selain itu, pengambilan biji bijan dapat mengurangkan risiko kanser. Lebih baik lagi, biji bijan kaya dengan serat yang dapat membantu proses penghadaman dan mengelakkan serangan kanser usus.
RESIPI MENGGUNAKAN MINYAK BIJAN

1. Isi Ayam Masak Bijan
BAHAN-BAHAN:
- 400gm isi ayam | dihiris
- 4cm halia tua | dihiris
- 2 biji bawang merah | dihiris
- 3 sudu makan minyak bijan
- 50gm brokoli | dicelur
- Sedikit hirisan lobak merah
- 1 sudu teh makan bijan
- Sedikit garam
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak bijan.
- Tumiskan halia sehingga berbau harum.
- Masukkan ayam, lobak merah dan bawang merah. Kacau rata.
- Masukkan air dengan secukupnya. Masak ayam selama 20 minit dengan api yang kecil sehingga mendidih.
- Akhir sekali masukkan bijan, brokoli dan garam secukup rasa. Kacau rata.
- Angkat dan hidangkan.

2. Korean Beef Bulgogi
BAHAN-BAHAN
- 500gm daging
- 5 ulas bawang putih | dicincang
- 2 sudu makan kicap cair
- 1 sudu makan kicap pekat
- 1 sudu makan madu
- 1 sudu makan gula perang
- 1 sudu makan minyak bijan
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 2 sudu makan cuka epal
BAHAN HIASAN
- Daun Bawang
CARA MEMASAK:
- Hiris daging nipis-nipis dan cuci bersih.
- Gaulkan semua bahan,perapan dengan daging dan perap selama satu jam.
- Panggang daging di atas api atau di dalam kuali sehingga masak.
- Hidang bersama taburan bijan dan dan daun bawang.
Teknik Goreng Filet Salmon Supaya Isinya Berjus Dan Kulitnya Garing.

Teknik goreng ‘pan seared’ sering digunakan bila anda ingin menggoreng ikan salmon. ‘Pan seared’ bermakna anda menggoreng di kuali yang panas dengan minyak yang sedikit dan masa yang singkat. Goreng ikan salmon ni memang berbeza daripada ikan biasa. Tetapi bagaimana nak kekalkan kepingan isi salmon tu biar berjus, lembut dan kulitnya garing? Ini caranya:
3 CARA UNTUK DAPATKAN KULIT YANG SUPER GARING
Jika filet ikan salmon digoreng ikut teknik ‘pan-seared’ yang betul kulitnya akan menjadi garing, rapuh dan berperisa. Ikuti langkah-langkah ini pasti filet salmon anda lebih lazat dan enak.
1. FILET SALMON PERLU DIBIARKAN KE SUHU BILIK
Keluarkan dari peti sejuk dan biarkan salmon 15 – 20 minit sebelum mula memasak. Ia bertujuan supaya filet salmon tidak sejuk dan berada dalam suhu bilik.

2. LAP KERING FILET SALMON
Gunakan tuala atau tisu untuk lap (tepuk-tepuk) filet hingga kering. Jika filet berada dalam keadaan basah atau lembap, ia akan melekat di kuali. Sudah tentulah kulitnya tidak garing dan masak dengan tidak sempurna.

3. PASTIKAN KUALI PANAS
Pastikan kuali betul-betul panas. Nyalakan api dalam nyalaan sederhana kepada sederhana-besar. Selepas minyak dituang, biarkan ia pijar dan baru masukkan salmon.

CARA GORENG SALMON
1. Mulakan masak dengan bahagian berkulit di bawah.
Apabila mula menggoreng, pastikan bahagian kulit diletakkan di sebelah bawah dan isi di atas. Kulitnya boleh menahan permukaan panas kuali tanpa menjejaskan tekstur isi serta melindungi salmon dari terlebih masak.

2. Bersabar lah ya…
Ini mungkin perkara yang sukar dilakukan. Apabila ikan mencecah kuali, tindakan terbaik yang boleh anda lakukan ialah bersabar menunggu ia masak. Percayalah, ikan itu akan masak, jangan usik atau cuba sentuh isinya semasa ia dalam proses masak. Tunggu filet bertukar warna dan masak, kemudian baru dibalikkan.

3. Lihat perubahan filet & jadikan ia petunjuk.
Setelah beberapa minit dimasak, warna filet salmon akan perlahan-lahan berubah. Bermula dari bawah (kulit) ke lapisan isi atas, anda akan nampak isinya akan bertukar dari warna oren terang ke warna yang lebih pucat. Perubahan ini menunjukkan progres bagaimana ikan hampir masak. Apabila warnanya telah bertukar sehingga tiga suku dari bahagian filet ( daripada lapisan bawah ke atas) itu maknanya filet itu sudah sedia untuk dibalikkan (isi ke bawah pula). Masa memasaknya lebih pendek,berbanding proses memasak di bahagian kulit.

Jika ikut peraturan ini filet salmon anda pasti lembut, tidak terlebih masak atau menjadi keras.Paling lazat, kulitnya yang super garing. – FARIDAH TALIB

Sumber teks : Kellie Foster, www.kitchn.com
Kredit foto : Christine Han
4 Chef Hotel Royale Chulan KL Dedah Rahsia Jadi Chef Hebat. Jom Ambil ‘Aura’ Mereka …

Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang chef, apabila makanan yang dihidangkan mendapat pujian. Terasa berbaloi keringat yang menitik itu. Setiap detik berlalu adalah pelajaran yang baharu buat mereka yang bergelar chef. Ini lah antara luahan yang dikongsi bersama Min.
Terasa suasana muhibbah dan persahabatan yang erat terjalin di antara empat chef berbilang bangsa dari hotel Royal Chulan KL ini. Chef Chew Nee Sian, Chef Ravi Kumar a/l Perumal Pillai, Chef Mohd Farhan Hamidon dan Chef Mohd Khalid Yaacob bila Min mengajak mereka bersembang mengenai kerjaya mereka.

Gandingan warga kerja lama dan baru adalah antara resipi kejayaan pekerjaan mereka.Di antara berempat ini Eksekutif Sous Chef, Chew Nee Sian adalah orang yang paling lama pengalamannya dalam bidang masakan iaitu selama 30 tahun.Sebagai orang yang paling ‘senior’, Chef Chew tidak pernah lokek membantu dan berkongsi rahsia hidangan dengan chef generasi baru. Walaupun kerjayanya bermula di restoran Cina, kini dia bukan sahaja pakar dalam masakan ini tetapi juga mampu menguasai sajian Melayu tradisional dan barat.

“Dari kecil hingga dewasa, saya tidak pernah merasai sajian Melayu. Tetapi apabila masuk ke dalam bidang ini semua jenis masakan perlu dikuasai dengan cepat. Budaya dan citarasa juadah ini juga penting untuk diserasikan.Saya kini boleh memasak 10 jenis rendang dan telah mencipta lebih daripada 100 resipi pelbagai hidangan, Yang penting dalam masak ini perlu ada ‘wow factor’dan perlu ada ikhlas. Kami bukan sekadar memasak tetapi cara persembahannya dan hiasan juga memerlukan kreativiti dan jiwa artis,” akuinya yang turut membimbing barisan 20 chef di hotel ini.

Buat Chef Ravi Kumar yang menggalas jawatan Master Butcher berpendapat kerjaya ini juga memerlukan dia untuk sentiasa membuat penyelidikan dan pembangunan (R & D). Mencuba menu baru dan bersedia mencuba melalui ‘try and error’. Beliau yang mempunyai pengalaman 15 tahun adalah pakar dalam pemprosesan dan masakan berasakan daging dan ‘seafood’.
Sehingga kini dia telah berjaya menghasilkan lebih 40 menu dan bahan perapan menggunakan fomulanya sendiri. Katanya, “Kelebihan chef ini ialah kami boleh membuat ‘food tasting’ dan boleh memberi komen untuk melazatkan lagi makanan. Setiap kali menerima tugasan untuk kerabat diraja dan orang kenamaan, kami akan juga menyediakan pelbagai juadah untuk pelanggan kehormat ini memilih menu sendiri melalui ‘food tasting’ ini. Tidak menerima sebarang ‘complaint’ atau aduan ketidakpuasan juga sudah cukup memberi kepuasan buat kami.”
Pendapat ini diperakui oleh Chef Mohd Farhan yang bertugas sebagai Demi Chef di restoran Steakhouse bersama Chef Ravi. Farhan menggalas tanggungjawab menyelia restoran makanan barat dan membantu dapur lain ketika hotel berada di waktu puncak dan sibuk. “Paling manis apabila dapat memasak untuk tiga Yang Di Pertuan Agung iaitu DYMM Sultan Terengganu, Kedah dan Kelantan, dapat bersama selebriti terkenal dan pernah berpeluang membuat promosi makanan di Switzerland.

Chef Muhammad Khalid pula bersyukur kerana minatnya dalam profesion ini mendapat minat dan dorongan keluarga. Dia yang memikul tanggungjawab sebagai Chef De Partie ini mempunyai kepakaran dalam pembuatan dessert dan pastri. Di samping itu Chef Khalid juga turut terlibat menyelia pekerja dan memastikan semua kerja yang diberikan siap tepat pada masanya. “Saya bangga mempunyai rakan sekerja yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi. Walaupun sibuk suasana bekerja seperti dalam keluarga menyebabkan kami mampu melalui cabaran kerjaya ini.

Apa pun pengalaman pahit manis buat keempat chef ini semuanya berjaya ditangani kerana minat dan kecintaan mereka terhadap profesion ini. Yang pasti keikhlasan dalam pekerjaan menjadi rahsia kelazatan sajian makanan di hotel Royal Chulan Kl ini.

Terima kasih : Hotel Royale Chulan KL .No 5, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

