Makan

Tip Masak Kuah Laksa Utara Yang Sedap, Ikut 5 Petua Dari Peniaga Laksa Ini!

Share

Hidangan laksa ini memang terkenal di negeri belah Utara namun kini ia sudah menjadi makanan kegemaran orang dari negeri lain juga.

Malah bila ada rumah terbuka ketika bulan Syawal ini memang ramai yang akan menghidangkan menu ini.

Tapi nak rasa laksa terbaik tak semestinya kena pergi ke Utara, kita pun boleh buat sendiri asalkan tahu caranya.  Laksa ni yang paling penting adalah kuahnya, dikongsi oleh Pnut Syafinaz ini adalah tip membuat kuah laksa yang sedap. Katanya resipi kuah ini adalah dari dari Tok Lela peniaga laksa yang ‘power’ lagi terkenal.

1. Ikan

Nak dapat kuah laksa yang sedap guna ikan dua jenis ikan. Biasanya ikan pelaling dan ikan sardin atau ikan selayang. Kuantitinya, kalau guna satu kilo ikan pelaling, campur dengan setengah kilo ikan sardin. Kalau nak buat kuantiti sedikit, 10-12 ekor ikan pelaling, tambah dengan 5 ekor ikan sardin.

Kalau ikut petua Tok Lela, ikan direbus sekejap asal mendidih kemudian tutup api. Alasan tak boleh rebus lama supaya manis ikan tak hilang.

Sejukkan dan asingkan tulang dengan isi. Isi ikan tadi ditumbuk kasar, sementara tulang ikan dengan kepala pula kisar bersama air rebusan tulang ikan tadi. Dah kisar, tapis kemudian kisar lagi, dan tapis sekali lagi.

2. Bawang

Laksa utara kena guna bawang besar India warna ungu. Bukan bawang Holand yang warna kuning. Siapa buat laksa guna bawang holand, ‘derhaka besar’. Bawang kena guna banyak, kalau segenggam cili, bawang besar 5-6 biji (yang saiz besar).

3. Belacan

Biasanya orang Kedah pakai belacan Tanjung Dawai. Tak pernah pakai belacan lain. Sila cari atau kirim bila kawan balik Kedah.

4. Kuah laksa

Tok Lela rebus kuah laksa 2-3 jam sebelum keluar berniaga.Ini tip paling power. Alasannya kuah dah ‘mesra’. Cukup rasanya dengan aroma kantan, kesum, asam garamnya. Air biar lebih sikit, kemudian didihkan sampai pekat.

 

5. Asam keping (asam gelugor)

Cari asam keping dari buah asam gelugor tua. Kalau buah muda dikeringkan masamnya kurang, kalau guna yang tua elok sedap masamnya. Ni biasa dibeli kat makcik-makcik jual sayur kampung kat pasar tani di Kedah.

Jangan letak terlalu banyak, kuah laksa ni elok dirasa selepas setengah jam atau sejam lepas didihkan. Masa ini boleh agak masamnya dah cukup atau kurang, kalau baru 10-20 minit renih kuah laksa dah rasa, asamnya tak sempat kembang.

Lepas dah rasa elok masam, boleh kaut asam keping dan buang sikit takut lagi lama, lagi masam.

Senang saja kan petuanya. Selamat mencuba.

Sumber: Facebook Pnut Syafinaz

 

Published by
Rose