Nak menyediakan hidangan untuk keluarga memang ambil masa jadi untuk memudahkan kerja terutama bagi ibu bekerja ramai yang akan memasak banyak dan buat stok frozen.
Bila nak makan keluarkan dari peti ais dan panaskan. Tapi bagi memastikan makanan frozen ini kekal selamat untuk dimakan boleh ikut panduan dan tip yang dikongsi oleh ahli kimia Dr Fatimah Salim.
Boleh tahan 2-6 bulan
Saya sendiri biasa bekukan makanan yang berlebihan termasuklah nasi, sup, lauk pauk dan sayuran. Bukan apa, saya juga suka dan rajin masak. Cuma ada masanya keadaan terdesak, kehabisan bahan mentah masakan atau meraikan sisi malas, makanan siap masak beku ini adalah penyelamat.
Sebenarnya makanan siap masak yang disejukbeku boleh bertahan 2 hingga 6 bulan bergantung kepada jenis bahan masakan dan keupayaan mengekalkan suhu peti sejuk. Nutrisi sedia ada juga kekal.
Lepas 6 bulan masih lagi selamat tapi…
Selepas tempoh ini, stabiliti komponen masakan akan mula terganggu dan kualitinya akan berkurangan. Keadaan ini kita boleh dipastikan melalui pemerhatian sendiri apabila rupa, warna dan struktur makanan telah berubah daripada yang asal. Namun masih lagi selamat dimakan.
Kita harus faham yang makanan boleh basi atau rosak disebabkan aktiviti bakteria atau pertumbuhan kulat (aka kuman) dan tindakbalas kimia yang berlaku pada komponen makanan. Kuman ini boleh datang daripada udara, tangan dan peralatan yang digunakan dalam pengendalian makanan yang telah dimasak.
Pastikan sejuk beku lauk
Suhu sejuk dalam peti sejuk beku (air menjadi ais) akan merencatkan aktiviti kuman dan memperlahankan tindakbalas kimia dalam makanan, maka makanan akan tahan lebih lama.
Ketahuilah kebanyakkan jenis makanan siap masak atau mentah (termasuklah sayuran dan buah-buahan) boleh dibekukan untuk meningkatkan jangka hayatnya. Pengekalan kualiti (terutamanya rupa dan tekstur) makanan yang dibekukan adalah bergantung kepada jenis makanan itu sendiri.
Tip untuk panaskan kembali lauk
• Untuk mengekalkan kualiti, elakkan menyahbeku berulang kali makanan yang sama. Elok bungkus dan simpan dalam bekas cukup untuk sekali makan seperti tuan siaran ini lakukan.
• Keluarkan makanan lebih awal untuk dinyahbeku sebelum dipanaskan untuk mengekalkan struktur makanan.
• Sedar diri dengan ruang peti sejuk beku untuk penyimpanan. Dan pastikan kandungan peti sejukbeku lebih teratur untuk mengelakkan cemaran silang antara makanan, terutamanya yang tidak memerlukan pemanasan seperti ais batu.
Sumber: Fatimah Salim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI