Tips Nak Ayam Goreng Salut Tepung Rangup Krup Krap Krupp Krapp!

Share

Semua orang suka ayam goreng salut tepung yang rangup seperti makanan di restoran makanan segera. Tapi sayang bila cuba sendiri di rumah hasilnya tidak seperti diharapkan, kalau tidak keras ianya berminyak. Memang potong selera kerana anda sudah membayangkan keenakan dan kerangupan salutan tepung  di gigitan yang pertama.

Jangan putus asa atau ulangi kesilapan yang sama, sebaliknya ikut enam tips yang RASA kongsikan ini supaya lepas ini apa sahaja makanan salut tepung yang anda goreng akan rangup seperti diinginkan.

Nak tahu apa tipsnya, baca ye…

Gunakan Tepung Yang Betul

Untuk mendapatkan makanan goreng salut tepung yang rangup, anda perlu tahu tepung apa yang harus digunakan.  Sebagai cadangan campurkan tepung gandum dengan tepung ubi.  Kalau nak lebih rangup lagi  boleh tambah sedikit soda bikarbonat atau serbuk penaik.

Sediakan Adunan Tepung Kering Dan Basah

Anda gunakan dua jenis adunan tepung, satu adunan basah dan satu lagi kering. Setelah minyak dipanaskan, celup ketulan ayam dalam adunan basah kemudian gaulkan dalam adunan tepung kering dan terus goreng.  Dengan cara ini adunan kering akan melekat pada adunan basah yang menjadikan bahan gorengan lebih rangup atau crispy.

Pastikan Tangan Kering.

Semasa memasukkan atau mengaulkan bahan makanan pada kedua-dua adunan tepung pastikan tangan dalam keadaan kering. Paling mudah gunakan dua tangan berbeza,  misalnya tangan kiri untuk memasukkan ayam dalam adunan kering dan kanan yang untuk memasukkan dalam adunan basah. Tujuannya untuk mengelakkan adunan kering menjadi berketul dan basah

Goreng Guna Minyak Banyak

Langkah ini wajib lakukan., pastikan  anda menggoreng menggunakan minyak banyak atau goreng secara deep frying.  Di mana semua bahagian makanan terendam dalam minyak panas dengan sempurna. Sebelum itu pastikan minyak betul-betul panas sebelum memasukkan bahan untuk digoreng.

Elakkan Goreng  Terlalu Banyak

Menggoreng menggunakan minyak banyak tidak bermakna  anda boleh memasukkan bahan gorengan dalam jumlah banyak.  Sebaiknya, goreng secukupnya saja supaya cukup ruang untuk gorengan menjadi garing dan tepung yang membalut makanan tidak tertanggal. Akhirnya hasil gorengan lebih rangup dan garing.

Tapis Minyak

Ini juga penting anda lakukan,  pastikan anda mengguna penapis  semasa mengangkat makanan yang digoreng. Tujuannya supaya minyak yang melekat pada ayam goreng turun ke bawah.  Dengan  cara ini hasil gorengan anda lebih garing tanpa berminyak.

Published by
Amanina