Wanita Ini Kongsi Resipi Sempoi Masak Gulai Siput Sedut dan Sambal Tumis Bilis Petai

Share

Melalui facebook, seorang pengguna media sosial dengan nama Hafizah Sabtu, berkongsi resipi gulai siput sedut dan sambal tumis bilis petai. Menariknya, Hafizah tidak berpandukan sebarang resipi. Sebaliknya hanya melalui pemerhatian daripada pengalamannya melihat orang lain memasak.

“Saya jarang masak masakan kampung seperti ini. Selalunya masak lauk biasa misalnya ayam masak kicap, sup ayam dan telur. Siput sedut ni kali pertama saya masak. Alhamdulillah, sedap,” katanya.

Hafizah yang juga seorang ejen produk Serum Qa-iii dan Shaklee mengakui sibuk dengan urusan perniagaan online.

“Setiap hari saya melayan pelanggan yang membeli produk jualan saya melalui online. Jadi, saya perlu masak lauk yang ringkas supaya memudahkan urusan di dapur. Inilah timbulnya resipi sempoi campak-campak saja,” katanya yang juga seorang ibu tunggal yang gigih membesarkan empat anak.

Jom kita tengok resipi sempoi yang dikongsikan oleh Hafizah.

GULAI SIPUT SEDUT

BAHAN KISAR
10 tangkai cili api
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN
1 mangkuk siput sedut (dibuang hujung dan bersihkan)
1 kotak kecil santan
3 batang serai (diketuk)
2 helai daun kunyit (disimpul)
Air secukupnya
Garam

CARA MEMBUAT
1. Panaskan periuk. Masukkan bahan kisar dan kacau sebentar.
2. Masukkan siput sedut. Kacau lagi.
3. Masukkan santan, serai dan daun kunyit.
4. Biarkan masak seketika.
5. Jika mahu kuah banyak, masukkan air. Jika tidak mahu kuah banyak, masukkan garam.
6. Biarkan mendidih. Tutup api dan boleh dihidangkan.

SAMBAL TUMIS BILIS DAN PETAI

BAHAN KISAR
10 tangkai cili kering (rebus dan buang biji dahulu)
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih

BAHAN LAIN
Minyak masak untuk menumis
Garam
Gula
Air asam jawa
4 papan petai (potong kecil bersama kulit)
Segenggam ikan bilis (digoreng)

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan garam, gula dan air asam jawa.
3. Masukkan petai. Biarkan sehingga petai sedikit layu.
4. Tutup api.
5. Masukkan ikan bilis, Kacau rata. Sedia dihidang.

Kredit: facebook Hafizah Sabtu

Published by
Maryam Elyas