World Chefs Championship , Lebih 2,000 Peserta  Bakal Menggegar Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah.

Share

Pertandingan World Chef Championship (WCC) bakal mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai acara yang menampilkan kategori pertandingan jenis masakan paling banyak iaitu 81 jenis masakan dan juri pertandingan paling ramai terdiri daripada 69 juri profesional dari dalam dan luar negara. Penjurian diketuai oleh Master Chief Judge, Francis KC Tan.

Master Chief Judge, Francis KC Tan. (kiri sekali)

Pertandingan ini bakal berlangsung pada 13hb hingga 15hb Disember di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah. Majlis pelancaran awal dan sidang medianya berlangsung semalam di Wisma Tani, di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Putrajaya disempurnakan oleh Menterinya YB Datuk Salahuddin Ayub.

Majlis turut dihadiri barisan Chef ternama dari industi hotel, universiti dan persatuan Chef serta Chef Selebriti dan bebas. Pertandingan World Chefs Association ini adalah anjuran Persatuan Masters Kulinari Malaysia tajaan VESTA yang diwakili oleh CEO Vesta International Culinary Group, Yap Bok Tuck dan Konsultan Vesta, Saifullah Ahmad.

Terdapat 14 kategori utama yang dipertandingkan iaitu patisserie, paparan sejuk, dim sum, kuih tradisional Melayu, masakan panas, masakan Jepun, artistic, persembahan dan food styling yang memaparkan kemewahan makanan (gold opulence service), kemahiran memotong daging, barista, warga emas dan vegetarian.

Menurut Saifullah Ahmad satu syarat pertandingan yang wajib dipatuhi oleh setiap peserta adalah mereka tidak menyediakan masakan atau hidangan yang mengandungi daging khinzir dan alcohol sebagai bahan masakan kerana pertandingan ini adalah pertandingan berkonsepkan mesra kepada semua kaum di Malaysia.

Para peserta juga disyaratkan menggunakan hasil pertanian agro sebagai bahan dalam masakan masing-masing.

“ World Chefs Championship terbuka kepada semua peserta yang mempunyai minat dalam bidang masakan, pastri serta penyediaan F & B (makanan dan minuman). Ini termasuklah pengusaha dan penjaja makanan dan minuman, suri rumah, pelajar dan golongan tentera yang mempunyai bakat dan minat dalam bidang ini.

Pertandingan ini tidak beorientasikan keuntungan dan bagi setiap penyertaan bayaran RM100 dikenakan,” ujar Saifullah. .

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vesta, Yap Bok Tuck berkata, Kedah dipilih sebagai lokasi WCC dalam usaha membantu mempromosikan negeri itu.

“ Tahun ini adalah Tahun Melawat Kedah, jadi kita hendak membantu mempromosi Kedah dan Malaysia amnya yang kaya dengan aneka makanan,” kata Yap Bok Tuck lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Faridah Talib