Bermula dengan suka-suka, akhirnya Paksu Ayam Golek kini menjadi semakin terkenal dan menjadi sebutan ramai. Semuanya kerana keistimewaan cita rasa ayam golek ini yang sangat sedap dan digemari pelanggan. Meneruskan legasi perniagaan arwah bapanya, Nur Hidayah Mohd Yussof mengatakan rempah inilah yang menjadi rahsia keenakan ayam golek.
Nur Hidayah Mohd Yussof
Ayam golek ini diperap menggunakan resipi ciptaan arwah Mohd Yussof Ahmad. Malah sos cicah ala Thai yang dibuat juga mendapat sambutan.
Ads
“Ini resipi ciptaan sendiri dan turun temurun. Arwah baba ambil masa setahun untuk cipta resipi sebelum dapat rasa yang sedap seperti sekarang ini. Arwah baba tidak henti mencuba dan bereksperimen. Adunan dan campuran rempah di dalamnya menghasilkan satu rasa yang lain daripada ayam golek yang ada di pasaran,” ujar Hidayah.
BERSIH DAN SEDAP
Lori membawa ayam golek kepada pelanggan.
Memulakan perniagaan sejak 2015, Paksu Ayam Golek kini ada dua cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi dan Jenderam Hilir. Menu yang dijual ada dua iaitu seekor ayam berharga RM22 dan separuh ekor ayam RM12. Ayam diadun dan diperap menggunakan 32 jenis rempah yang pastinya sedap.
“Pada asalnya, arwah baba berniaga ayam goleh untuk suka-suka sahaja sebab orang suka makan ayam golek pada bulan puasa. Tapi ramai pelanggan kata ayam golek kami sedap. Jadi kami buat keputusan untuk berniaga setiap hari dan bukan pada bulan puasa saja. Alhamdulillah sambutan pelanggan tidak mengecewakan dari mula kami berniaga sehingga sekarang. Pelanggan suka rasa ayam golek, sos cicah istimewa kami dan juga saiz ayam,” kata Hidayah.
Menyelerakan.
Paksu Ayam Golek menjaga kebersihan ayamnya daripada terkena debu jalanan. Berbanding cara tradisional dengan mesin golek arang, gerai ini menggunakan mesin golek oven api gas dan elektrik. Mesin tertutup dengan cermin kaca sudah semestinya lebih bersih.
TEMPAHAN
Jom dapatkan ayam golek istimewa daripada Paksu Ayam Golek.
Ads
Kini orang ramai boleh menikmati ayam golek di rumah menggunakan rempah sejuk beku yang dihasilkan. Rempah ini dijual oleh ejen seluruh semenanjung tanah air. Tujuan rempah ini dihasilkan adalah untuk membantu surirumah mudah memasak. Dengan tiga langkah mudah iaitu cairkan, perap dan masak, seseorang itu boleh menghidangkan lauk sedap.
“Selain berniaga di tepi jalan, kami juga menerima tempahan katering bakar ayam golek secara live untuk kenduri kahwin, rumah terbuka hari raya dan majlis korporat. Food truck memudahkan kami bergerak kerana mesin ayam golek memang sudah ada atas lori. Tidak perlu angkat naik turun mesin setiap kali kami mahu ke tempat majlis. Majlis pelanggan kami akan nampak lebih profesional, kemas, bersih dan teratur,”katanya.
INFO KEDAI
NAMA KEDAI
Paksu Ayam Golek
Ads
PEMILIK
Mohd Yussof Ahmad (2015 – Jan 2018)
Nur Hidayah Mohd Yussof (Jan 2018 hingga kini)
LOKASI
Seksyen 7 Bandar Baru Bangi & Jenderam Hilir
WAKTU OPERASI
11 pagi – 6 ptg (Jumaat cuti di Bangi dan Isnin cuti di Jenderam Hilir)
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Sebut je pasal Kota Bandung, ramai yang tersenyum. Inilah antara syurga membeli-belah yang paling digemari dan menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Selain terkenal sebagai tempat perlancongan yang menarik, kota ini juga merupakan pusat membeli-belah barangan murah seperti aneka kain sulam, lace dan bermacam-macam lain. Pendek kata bila jejak kaki ke sana, memang rambang mata dibuatnya.
Salah seorang selebriti terkenal yang berasal dari kota ini ialah Laudya Cynthia Bella. Mendengar sahaja pemilik nama indah ini, pasti terbayang di mata anda selebriti cantik manis dari seberang yang meletop menerusi filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 ini. Malah bintang jelita ini juga menjadi lebih dekat dengan rakyat Malaysia setelah mendirikan rumahtangga dengan ahli perniagaan terkenal, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Kini, selain sibuk dengan kehidupan barunya di Malaysia, Laudya Cynthia Bella yang mesra dengan panggilan Bella juga masih berulang-alik ke Indonesia demi ‘cinta hati’nya. Wah…Siapa tu?Cinta hati yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah perniagaan yang diusahakan beliau disana iaitu Bandung Makuta. Ia merupakan sebuah perniagaan kedai kek yang menjual ole-ole khas Bandung.
Jangan tak tahu, walaupun baru sahaja dijalankan, pernigaan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan sentiasa diserbu para peminatnya sehingga kehabisan stok!Antara produk-produk yang dijual disini ialah Makuta Blueberry, Makuta Cheese, Makuta Caramel, Makuta Lemon, Makuta Chocolate dan Makuta Extra Cheese.
Malah bagi anda yang inginkan ole-ole yang lebih istimewa, Bandung Makuta juga ada menyediakan ole-ole Gold Series iaitu Makuta Choco Cheese dan Makuta Cassava Cheese / Peuyeum. Fuhhh…Lihat gambarnya sahaja sudah cukup buat rasa terliur dan nak cuba. Jom layan gambar-gambar manisan istimewa dari kedai Bella ni. Andai ke Bandung, bolehlah cuba.
Nasi Lemak merupakan hidangan kegemaran rakyat Malaysia. Pergilah kemana sahaja ceruk di negara ini, anda boleh menikmati menu ini dengan mudah. Ianya sangat ringkas. Nasi yang dimasak bersama santan, daun pandan dan dinikmati bersama sambal enak, ikan bilis goreng, telur rebus dan hirisan timun. Sedap dan mengenyangkan!
Kini Nasi Lemak telah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila Duzy Noramzamnas Abdul Aziz, 30; pemuda kelahiran Sabah telah berjaya membuka Restoran Nasi Lemak Nek Nong di kota London.
Mengetengahkan konsep Nasi Lemak yang dihidang bersama pelbagai lauk, ternyata ianya satu percaturan yang bijak. Ini kerana menurut Duzy, sambutan terhadap makanan Malaysia di United Kingdom amat menggalakkan kerana ramai rakyat Malaysia tinggal disana dan mereka sering mencari makanan Malaysia. Malah sejak dibuka pada Januari yang lalu, restorannya telah mendapat sambutan yang cukup hangat dari pelanggan tetap yang terdiri dari rakyat Malaysia, Singapura, Brunei dan juga Indonesia.
Hidangan Nasi Lemak Nek Nong ini mempunyai keunikan dan tarikannya yang tersendiri dimana ia dihidangkan bersama sambal istimewa, ikan bilis rangup, hirisan timun dan juga telur. Malah pelanggan juga boleh memilih beberapa lauk tambahan seperti Ayam Goreng Kunyit, Ayam Goreng Crispy, Ayam Masak Kicap, Ayam Masak Merah, Sambal Udang, Sambal Sotong dan banyak lagi yang dimasak panas-panas.
Istimewanya resipi Nasi Lemak ini pula dipelajari dari ibu Duzy sendiri. Beliaulah yang mengajar Duzy memasak dan mewarisi resipinya. Malah nama Nasi Lemak Nek Nong juga diambil sempena nama panggilan ibunya, Nek Nong.
Jika inginkan kelainan, Restoran Nasi Lemak Nek Nong juga menyajikan sajian dari Timur Tengah seperti Chicken Shawarna, Falafel Halloumi, Arabic Full Breakfast, English Full Breakfast dan juga aneka jenis kek.
Bagi yang ingin mencuba keenakan Nasi Lemak Kota London ini, Restoran Nasi Lemak Nek Nong terletak bersebelahan Bayswater dan mengambil masa lima minit sahaja dengan berjalan kaki dari Stesen Paddington dan ianya dibuka setiap hari bermula jam 12 tengahari hingga 10 malam. Selamat mencuba!
Kini bila melangkah masuk je ke rangkaian kedai myNEWS, selain untuk tujuan mendapatkan barangan keperluan harian, korang juga mempunyai pilihan membeli pelbagai jenis minuman dan makanan yang berkonsepkan Ready To Eat, inspirasi dari makanan Jepun.
.
Kedai serbaneka kini menjual pelbagai makanan dan minuman, satu lagi penyelesaian bila perut lapar tapi nak cepat mendapatkan makanan yang sedap dan sihat. Korang hanya masuk, buat pilihan sama ada sandwich atau onigiri dan terus makan dengan harga berpatutan. Banyak pilihan makanan dan minuman yang boleh dipilih.Tak sempat,jangan risau, myNEWS ada buat delivery. Sangat mudah.
.
Memahami keperluan gaya hidup yang sibuk di kalangan rakyat Malaysia, myNEWS telah mengambil inisiatif menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkualiti, khususnya makanan, bagi memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan keperluan mereka di kedai runcit dengan mudah dan pantas.
.
Sejak penubuhannya pada Disember 1996, kini myNEWS telah berjaya berkembang dan mempunyai lebih daripada 5 juta pelanggan setiap bulan di lebih 500 cawangan di seluruh negara. Dengan berkembang dari stesen tradisional tunggal 23 tahun yang lalu, kumpulan myNEWS kini memiliki barisan produk sedia guna yang terbesar di Jepun. Dengan adanya dua kilang pembuatan makanan Jepun iaitu Gourmet Kineya Co Ltd dan Ryoyu Baking Co Ltd di Kota Damansara, ia dapat dapat memenuhi kesemua keperluan makanan di 500 outlet myNEWS sekarang.