Chef Wan & Mamak Puteh Kongsi Resipi Nostalgia Kari Ikan Yu & Sagu Kelapa Parut.

Share

Sedar tak sedar, sudah 13 hari umat Islam menjalankan ibadah Ramadan. Sekejap sahaja dah nak masuk setengah bulan dan yang tentunya sibuk, pastinya kaum-kaum ibu. Setiap hari masak untuk sahur dan berbuka. Malah ada yang dah mula membuat biskut raya untuk Syawal nanti.

Hari ini Rasa Nostalgia Ramadan musim kedua bersama Datuk Chef Wan bersiaran lagi bersama tetamu undangan iaitu Mamak Puteh.

Pandai melawak dan berlakon, tapi adakah Mamak Puteh pun handal di dapur? Menu nostalgia yang dikongsi hari ni bukan caang-calang tau. Kari Ikan Yu dan juga Kuih Sagu Kelapa Parut. Memang membuka selera. Malah Kari Ikan Yu itu sendiri merupakan satu hidangan yang unik. Jarang boleh jumpa menu ni dijual di kedai tau.

Nak cuba masak menu ni untuk keluarga? Berikut dikongsikan resipinya. Selamat mencuba!

1. KARI IKAN YU

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan yu | dibersihkan & potong kecil
  • 6 sudu besar minyak masak
  • 2-3 sudu makan pes cili
  • 2-3 biji bawnag merah besar | hiris
  • 1 sudu besar biji sawi
  • 1/2 sudu teh biji halba
  • 2 tangkai daun kari
  • 6 sudu besar serbuk kari dicampurkan dengan 8 sudu besar air
  • 500ml santan
  • 2 sudu besar air asam jawa
  • 2 biji terung | dipotong serong
  • 3 biji cili merah
  • 3 biji cili hijau
  • 5 batang bendi
  • Garam
  • Tomato
  • Lemon

BAHAN KISAR:

  • 10 biji bawang merah kecil
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumiskan daun kari, halba, biji sawi dan bawang hiris sehingga garing.

2. Masukkan bahan kisar dan pes cili. Tumis hingga pecah garing.

3. Kemudian masukkan pes kari. Masak hingga pecah minyak.

4. Masukkan air asam jawa sedikit demi sedikit. Masukkan juga terung bendi dan tomato.

5. Masukkan santan, garam, air dan garam secukup rasa. Biarkan ianya mendidih dahulu.

6. Seterusnya ikan yu dan perahkan sedikit jus lemon.

7. Masukkan cili merah dan cili hijau. Biarkan hingga mendidih.

8. Sedia untuk dihidangkan.

2. KUIH SAGU KELAPA PARUT

 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ½ cawan air
  • 1 cawan sagu
  • 3/4 cawan gula pasir
  • Beberapa titik sirap perisa ros/pewarna merah
  • Kelapa putih secukupnya
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

1. Masukkan air, sagu dan sedikit pewarna ros/merah ke dalam periuk.

2. Masak dan sentiasa kacau sehingga warna putih sagu hilang.

3. Kemudian toskan sagu tersebut. Letak sagu dalam bekas bersesuaian dan biarkan sagu sejuk sebentar.

4. Dalam bekas berasingan, gaulkan kelapa putih bersama dengan sedikit garam.

5. Akhir sekali, ambil kepingan sagu dan salutkan dengan kelapa putih tadi.

6. Sedia untuk dihidangkan.

 

TONTON RASA NOSTALGIA RAMADAN SEPANJANG BULAN RAMADAN INI

Jangan lupa saksikan rancangan terbaru Rasa Nostalgia Ramadan Musim Kedua yang bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini. Menampilkan chef selebriti terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan sebagai hos, beliau akan bergandingan bersama selebriti jemputan popular tanah air yang akan berkongsi resipi-resipi nostalgia mereka..

Nak tahu siapa tetamunya? Kenalah tunggu dan tonton Rasa Nostalgia Ramadan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 5 petang di saluran Astro Prima & Prima HD (105 & 125).

 

Published by
Nur