“Saya suka masak kari, tapi rasanya tak sesedap yang saya makan di kedai. Terutamanya di restoran mamak. Apa rahsia mereka ya?”.
Kali ini, RASA ingin berkongsi 15 rahsia untuk memasak kari yang sedap. Ada sesetengah daripada tip ini yang mungkin akan mengejutkan anda. Ayuh, teruskan membaca!
Ads
KARI AYAM atau DAGING
Ads
Ads
Rempah kena garing, tetapi jangan sampai hangus, selalu orang bancuh serbuk kari dengan air. Tapi sebenarnya kena tumis bawang dan bahan lain, kemudian masukkan rempah kari. Goreng pantas selama 1-2 minit dan masukkan air. Tak perlu banyak, cukup sekadar mencairkan rempah. Perlahankan api sehingga terbit minyak.
Kemudian barulah masukkan daun kari dan kentang. Masukkan pula daging atau ayam. Biarkan sehingga ayam atau daging mengecut, barulah ditambah air.
Apabila sudah dimasukkan air, masukkan pula santan atau susu segar. Perlahankan api dan biarkan kuah mereneh.
Apabila kentang sudah empuk, masukkan asam gelugur atau sedikit jus asam jawa sebelum diperasakan dengan garam.
Antara rempah yang boleh menyedapkan kari adalah bunga lawang, pelaga dan kayu manis.
Cara memasak kari daging adalah lebih kurang seperti kari ayam cuma kebanyakan orang utara lebih suka memerap daging dengan rempah kari sebelum dimasak. daging akan menjadi lebih lembut. aroma kari juga akan meresap ke dalam daging dan menjadikan kuahnya lebih sedap.
KARI IKAN
Untuk kari ikan yang sedap, anda boleh masukkan 1 sudu besar beras yang disangai dan ditumbuk halus selepas selesai menumis. Kacau rata.
Jika anda menggunakan ikan yang hanyir, campurkan asam jawa dan ramaskan bersama santan. Ia dapat memotong bau hanyir ikan.
Ketika menumis, anda boleh masukkan sedikit garam untuk menggaringkan rempah dengan baik.
Untuk menyedapkan lagi kari ikan, anda boleh ‘patahkan’ 2-3 biji cili hijau dan masukkan ke dalam kari selepas masukkan ikan.
Jika anda mahu menggunakan bendi di dalam kari, ia tidak perlu dicampur sekali. Anda hanya perlu merebus bendi dalam air yang dimasukkan sedikit minyak dan garam (jangan terlalu lama). Ketika mahu menghidang kari, baharulah dimasukkan bendi (ini adalah optional).
Sebelum anda masukkan ikan ke dalam kari, pastikan kuah kari sudah menggelegak. Jika tidak, isi ikan mudah hancur dan membuatkan kuah menjadi hanyir.
Apabila ikan sudah masak, kecilkan api untuk biarkan ia terbit minyak dan tidak perlu terlalu lama.
Ketika menumis, gunakan rempah seperti biji sawi, halba dan jintan putih/halus. Elakkan jintan manis kerana ia akan merosakkan rasa kari.
Jika mahukan rasa kari yang lebih sedap, masaklah sehari sebelum dimakan. rasa rempah dan santan akan menjadi lebih sebati dan kuahnya juga akan memekat. Apabila dipanaskan, rasanya lebih sedap.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang chef, apabila makanan yang dihidangkan mendapat pujian. Terasa berbaloi keringat yang menitik itu. Setiap detik berlalu adalah pelajaran yang baharu buat mereka yang bergelar chef. Ini lah antara luahan yang dikongsi bersama Min.
Terasa suasana muhibbah dan persahabatan yang erat terjalin di antara empat chef berbilang bangsa dari hotel Royal Chulan KL ini. Chef Chew Nee Sian, Chef Ravi Kumar a/l Perumal Pillai, Chef Mohd Farhan Hamidon dan Chef Mohd Khalid Yaacob bila Min mengajak mereka bersembang mengenai kerjaya mereka.
Dari kiri Chef Chew Nee Sian, Mohd Farhan Hamidon, Mohd Khalid Yaacob dan Chef Ravi Kumar a/l Perumal Pillai
Gandingan warga kerja lama dan baru adalah antara resipi kejayaan pekerjaan mereka.Di antara berempat ini Eksekutif Sous Chef, Chew Nee Sian adalah orang yang paling lama pengalamannya dalam bidang masakan iaitu selama 30 tahun.Sebagai orang yang paling ‘senior’, Chef Chew tidak pernah lokek membantu dan berkongsi rahsia hidangan dengan chef generasi baru. Walaupun kerjayanya bermula di restoran Cina, kini dia bukan sahaja pakar dalam masakan ini tetapi juga mampu menguasai sajian Melayu tradisional dan barat.
“Dari kecil hingga dewasa, saya tidak pernah merasai sajian Melayu. Tetapi apabila masuk ke dalam bidang ini semua jenis masakan perlu dikuasai dengan cepat. Budaya dan citarasa juadah ini juga penting untuk diserasikan.Saya kini boleh memasak 10 jenis rendang dan telah mencipta lebih daripada 100 resipi pelbagai hidangan, Yang penting dalam masak ini perlu ada ‘wow factor’dan perlu ada ikhlas. Kami bukan sekadar memasak tetapi cara persembahannya dan hiasan juga memerlukan kreativiti dan jiwa artis,” akuinya yang turut membimbing barisan 20 chef di hotel ini.
Buat Chef Ravi Kumar yang menggalas jawatan Master Butcher berpendapat kerjaya ini juga memerlukan dia untuk sentiasa membuat penyelidikan dan pembangunan (R & D). Mencuba menu baru dan bersedia mencuba melalui ‘try and error’. Beliau yang mempunyai pengalaman 15 tahun adalah pakar dalam pemprosesan dan masakan berasakan daging dan ‘seafood’.
Sehingga kini dia telah berjaya menghasilkan lebih 40 menu dan bahan perapan menggunakan fomulanya sendiri. Katanya, “Kelebihan chef ini ialah kami boleh membuat ‘food tasting’ dan boleh memberi komen untuk melazatkan lagi makanan. Setiap kali menerima tugasan untuk kerabat diraja dan orang kenamaan, kami akan juga menyediakan pelbagai juadah untuk pelanggan kehormat ini memilih menu sendiri melalui ‘food tasting’ ini. Tidak menerima sebarang ‘complaint’ atau aduan ketidakpuasan juga sudah cukup memberi kepuasan buat kami.”
Pendapat ini diperakui oleh Chef Mohd Farhan yang bertugas sebagai Demi Chef di restoran Steakhouse bersama Chef Ravi. Farhan menggalas tanggungjawab menyelia restoran makanan barat dan membantu dapur lain ketika hotel berada di waktu puncak dan sibuk. “Paling manis apabila dapat memasak untuk tiga Yang Di Pertuan Agung iaitu DYMM Sultan Terengganu, Kedah dan Kelantan, dapat bersama selebriti terkenal dan pernah berpeluang membuat promosi makanan di Switzerland.
Chef Muhammad Khalid pula bersyukur kerana minatnya dalam profesion ini mendapat minat dan dorongan keluarga. Dia yang memikul tanggungjawab sebagai Chef De Partie ini mempunyai kepakaran dalam pembuatan dessert dan pastri. Di samping itu Chef Khalid juga turut terlibat menyelia pekerja dan memastikan semua kerja yang diberikan siap tepat pada masanya. “Saya bangga mempunyai rakan sekerja yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi. Walaupun sibuk suasana bekerja seperti dalam keluarga menyebabkan kami mampu melalui cabaran kerjaya ini.
Apa pun pengalaman pahit manis buat keempat chef ini semuanya berjaya ditangani kerana minat dan kecintaan mereka terhadap profesion ini. Yang pasti keikhlasan dalam pekerjaan menjadi rahsia kelazatan sajian makanan di hotel Royal Chulan Kl ini.
Terima kasih : Hotel Royale Chulan KL .No 5, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Sayuran berwarna hijau ini agak kurang popular dan jarang digunakan dalam masakan tempatan. Namun, ia sangat tinggi khasiat dan memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan. Selain ditumis atau dikukus, pelbagai hidangan enak yang boleh dimasak dengan menggunakan brokoli. Asalkan anda sanggup mencuba.
Beberapa kajian mendapati brokoli mengandung senyawa anti kanser kerana terdapat kandungan fitokimia yang bernama indole dan isothiocyanate. Inilah yang disebut-sebut sebagai manfaat brokoli yang paling besar. Di antara zat yang terkandung di dalam brokoli ialah serat, antioksidan, vitamin A, B, C, K, dan mineral yang diperlukan oleh tubuh.
Berikut adalah di antara manfaat sayuran berwarna hijau ini.
KHASIAT BROKOLI
1. MEMBANTU TURUNKAN BERAT BADAN
Sayuran yang kaya akan serat seperti brokoli sangat membantu program diet penurunan berat badan anda. Kandungan seratnya yang tinggi dapat membuat perut kenyang lebih lama. Sayuran berwarna hijau ini juga mengandungi vitamin serta mineral, dan rendah kalori juga lemak.
2. MENJAGA KETAJAMAN PENGLIHATAN
Kandungan lutein dan vitamin A yang ada di dalam brokoli membuatkan sayuran ini memiliki kemampuan untuk menjaga kesihatan mata. Sebuah kajian menunjukkan bahawa kadar lutein yang tinggi dapat mencegah penurunan fungsi mata seperti katarak dan makula. Sementara vitamin A sangat penting untuk menjaga kesihatan retina.
3. MENJAGA KESIHATAN KULIT
foto: thejakartapost.com
Memiliki kulit cantik, sihat dan terbebas dari segala permasalahannya ialah impian semua orang. Di dalam brokoli terdapat senyawa glucoraphanin, yang dapat membantu memperbaiki kerosakan kulit akibat paparan sinar matahari atau proses penuaan. Selain itu, ia dapat membantu untuk memperbaiki jaringan kulit yang rosak dan membuat kulit yang sihat dan bercahaya. Secara umum, mengambil brokoli baik untuk proses detoksifikasi kulit. Vitamin E di dalamnya sangat bagus untuk mempercepat proses regenerasi sel-sel kulit mati.
4. MENJAGA SISTEM PENCERNAAN
Kandungan serat yang tinggi dalam brokoli mampu menjaga pencernaan agar berfungsi dengan baik, mencegah penyakit seperti sembelit. Dan antioksidannya merupakan detoks semula jadi yang membersihkan saluran pencernaan seperti lambung dan usus dari racun.
5. MENCEGAH PENYAKIT KARDIOVASKULAR
Brokoli mengandung vitamin B6 dan asid folid yang terbukti dapat mencegah penyakit kardiovaskular seperti jantung dan strok. Jadi jangan ragu untuk memakan sayuran yang satu ini. Tentunya harus diimbangi dengan gaya hidup sihat dan berolahraga secara teratur.
6. MENGAWAL TEKANAN DARAH
Dengan kandungan kalium dan magnesiumnya yang tinggi, brokoli menjadi salah satu sayuran yang dianjurkan untuk diambil oleh penghidap tekanan darah tinggi.
7. MENJAGA KESIHATAN TULANG DAN GIGI
Kalsium merupakan mineral yang sangat penting bagi kesihatan tulang dan gigi dan brokoli ini merupakan sayuran yang mengandungi kalsium yang tinggi. Selain kalsium, terdapat juga vitamin K yang dapat mencegah osteoporosis.
Dikongsi empat jenis resipi istimewa yang berasaskan brokoli yang dianggap sebagai ‘super food’ ini. Selamat mencuba.
1. DAGING MONGOLIA
BAHAN-BAHAN:
300gm daging batang pinang | hiris nipis
2 sudu makan sos tiram
3cm halia muda | hiris nipis
6 ulas bawang putih | cincang kasar
1 biji bawang besar| hiris
1/2 biji cili benggala merah | hiris
100gm brokoli
1 sudu makan minyak bijan
3 Pokok daun bawang | hiris 3cm
1 sudu tea bijan | goreng tanpa minyak
Garam dan perasa secukupnya
3 sudu makan minyak masak
1 sudu teh minyak bijan
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang putih dan halia hingga wangi.
Kemudian masukkan daging, kacau rata sehingga air daging kering. Masukkan bawang besar, cili benggala dan brokoli, kacau seketika.
Perasakan dengan sos tiram, garam dan gula secukup rasa.
Kacau lagi 2-3 minit, kemudian tutup api.
Renjiskan minyak bijan, dan gaul sekali lagi.
Sebelum hidang taburkan bijan yang digoreng tanpa minyak tadi di atasnya.
Sedia dihidangkan panas-panas.
2. NASI GORENG AYAM BAKAR TERIYAKI KASEROL
BAHAN NASI GORENG TERIYAKI:
500gm nasi sejuk
1 biji bawang besar Holland |dihiris nipis
3 ulas bawang putih | dicincang
5 biji cendawan butang | dihiris
1 batang lobak merah | dipotong julienne
100gm brokoli | dipotong dan direbus
1 sudu makan sos teriyaki
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu makan sos soya
Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa
Minyak sayuran secukupnya
BAHAN AYAM BAKAR TERIYAKI:
2 keping dada ayam
1 sudu makan sos Teriyaki
1 sudu makan sos soya
1 sudu makan minyak bijan
1/2 sudu makan tepung jagung
Garam dan serbuk lada sulah
CARA MEMASAK:
Nasi: Panaskan minyak dan tumis bawang Holland dan bawang putih sehingga naik bau.
Kemudian masukkan cendawan butang, lobak merah, sos teriyaki, minyak bijan dan soya sos.
Masukkan nasi dan gaul hingga sekata. Perasakan dengan garam dan lada sulah secukupnya.
Akhir sekali masukkan brokoli yang telah direbus tadi. Ketepikan seketika.
Ayam: Perapkan ayam dengan kesemua bahan-bahan perapan. Perasakan dengan garam dan lada sulah.
Panggang ayam selama lebih kurang 20 minit dalam suhu 180C.
Apabila ayam telah sejuk, carik-carikkan isinya.
Gaulkan ayam bersama nasi yang digoreng dan juga lebihan sos perapan ayam. Gaul rata dan isikan ke dalam mangkuk kaserol.
Bakar kembali di dalam ketuhar selama lebih kurang 10 minit. Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Waktu memanggang mungkin berbeza bergantung pada jenis ketuhar yang anda gunakan. Selalu perhatikan agar ayam tidak hangus.
3. SAYUR CAMPUR
BAHAN-BAHAN:
100gm bunga kubis | hiris
100gm brokoli | hiris
100gm lobak merah | hiris
10 gm jagung muda | hiris
100gm kubis cina | hiris
2 biji cili merah | hiris
2 biji bawang putih | cincang
3 sudu makan sos tiram
1 sudu makan tepung jagung | bancuh dengan sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
1 biji telur
Minyak minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, tumiskan bawang hingga kekuningan.
Masukkan sayur-sayuran, kacau hingga sayur layu.
Kemudian masukkan sos tiram dan kacau rata.
Seterusnya masukkan bancuhan tepung jagung dan telur.
Kacau rata dan sebati.
Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Tutup api, dan sayur sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Elakkan menumis sayur terlalu lama. Sayur akan berubah warna dan tidak ranggup.
4. BROCCOLI MOZZARELLA BITES
BAHAN-BAHAN:
2 sudu makan madu
60gm brokoli | potong kasar
60gm keju mozzarela | parut kasar
1 biji telur
160ml susu segar
150gm tepung gandum serba guna
3gm serbuk penaik
½ sudu teh garam
½ sudu teh minyak masak
1 biji bawang merah | racik
Minyak untuk menggoreng secukupnya
CARA MEMASAK:
Satukan tepung dan serbuk penaik dan ketepikan.
Di dalam mangkuk berlainan, satukan susu, madu, garam, telur dan minyak masak. Gaul sebati.
Masukkan adunan tepung dan serbuk penaik tadi. Gaul sebati.
Kemudian masukkan brokoli dan keju mozzarela, gaul sebati.
Panaskan minyak. Sudukan adunan di dalam minyak yang panas. Goreng hingga perang keemasan.
Pernah dengan nama Academy of Pastry & Culinary Arts Malaysia (APCA), di Petaling Jaya. Adik-adik yang minat baking, pastri dan masakan kena semak-semak apa yang ditawarkan di sini.
Academy of Pastry & Culinary Arts Malaysia (APCA) menawarkan program berasaskan kemahiran pastri dan seni kulinary. Programnya diadalah secara Program Separuh Masa, Program Sambilan, Kulinari dan Pastri Insentif, Program 2 minggu (chocolatier/bakery) dan Master Class.
APCA dikenali sebagai jenama tersohor dalam program profesional Kulinari dan Pastri di Asia Pasifik. Ditubuhkan pada tahun 2010 di Malaysia, kini ia berkembang pesat dengan perancangan untuk membuka cawangannya di Indonesia, Dubai dan Singapura tidak lama lagi.
APCA adalah institusi antarabangsa yang kini mempunyai lima pusat pengajian di tiga buah negara di Asia iaitu Malaysia, tiga di India dan satu di Filipina. Ia menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap termasuklah lounge untuk pelawat dan pelajar, kafe, amphitheatre yang boleh memuatkan 85 pelajar dalam satu masa.
Bimbingan secara perbadi dan latihan praktikal dari tenaga pengajar bertaraf antarabangsa dan persekitaran profesional menjadi ciri utama APCA. Program yang ditawarkan menyediakan pelajar dengan penglibatan profesional dan kemahiran sebenar dunia pekerjaan yang mantap untuk mencapai kejayaan dalam industri.
Nisbah Chef Vs Pelajar adalah 1 :14 menjadikan pelajar menerima perhatian dan bimbingan lebih peribadi. Latihan praktikal yang lengkap iaitu sebanyak 40 jam seminggu. Setiap pelajar perlu membuat produk sendiri.
Secara keseluruhan sebanyak 1440 jam selama sembilan bulan program dijalankan. Chef (tenaga pengajar) terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman luas dengan hotel terkemuka. Pelajar latihan amali pula berpeluang menjalaninya di hotel jenama terkemuka.
Di antara pencapaian yang pernah diraih di peringkat kebangsaan adalah pingat emas dalam pelbagai kategori dan “The Most Outstanding Pastry Chef Award” di Food Hotel Malaysia 2011 dan pingat emas seterus pada, 2013, 205 dan 2017. Di peringkat antarabangsa pula adalah posisi ke 14 dalam World Pastry Cup, Lyon 2013, posisi ke 4 di tahun 2015, dan posisi ke 6 dalam kejohanan yang sama.
Juga pernah menerima gelaran Juara untuk Top Patisserie Asia pada 2017. Melalui keputusan dan analisis yang dilakukan oleh World Pasty Cup Competition dalam empat tahun yang lepas Malaysia adalah satu-satunya negara yang diiktiraf sebagai nombor 2 terbaik dalam pembuatan pastri di Asia selepas Jepun.
Lokasi : Lot 16, Jalan 51A/223, Petaling Jaya, Selangor.