Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd dan Astro telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman ( MoU) yang membentuk sebuah syarikat usahasama (JV Co) untuk penghasilan dan penjanaan keuntungan menerusi pemilikan kandungan di Malaysia dan rantau Nusantara.
Menurut Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, matlamat utama kolaborasi adalah menyasarkan penghasilan bersama kandungan harta-harta intelek atau IP yang komprehensif meliputi segmen Melayu dan Islamik. Menerusi misi utama untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan, Astro memerlukan IP yang pelbagai untuk memenuhi kehendak setiap segmen pengguna.
Kumpulan Media Karangkraf merupakan satu kuasa besar dalam industry kreatif terutamanya di kalangan komuniti berbahasa Melayu menerusi senarai aset media yang dimiliki dan usahasama yang dijalinkan ini bertujuan membangunkan jenama dan seleksi kandungan IP yang hebat bersama-sama. Usahasama ini menyatukan dua entiti yang membawa misi yang sama dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan masing-masing untuk membuka peluang perniagaan baru bagi mencipta harta-harta intelek Nusantara yang boleh digunapakai bukan sahaja di Malaysia malahan memiliki nilai komersial yang tinggi untuk dibawa menjelajah ke negara-negara serantau.
Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf berkata, “ Kumpulan Media Karangkraf amat teruja untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat lagi dengan Astro, terutamanya setelah terlibat dalam pelbagai kempen sebelum ini seperti Projek Rumah Ngaji, Quran Hour dan sebagainya. Dengan gabungan jumlah jangkauan yang memberangsangkan, kami merasakan bahawa Astro merupakan rakan strategik yang paling tepat untuk membantu memperluaskan harta intelek kami di pelbagai platform seperti televisyen, OTT dan di ruang digital di Malaysia dan di negara-negara yang berikutnya. Usahasama ini akan membolehkan kami memiliki ekuiti dalam penguasaan kandungan Melayu dengan aspirasi serantau serta mempelbagaikan perniagaan baru seterusnya memacu inovasi digital.”
Karangkraf dan Astro berharap kerjasama ini akan saling melengkapi kekuatan masing-masing dalam menghasilakn sejumlah kandungan IP yang berkualiti serta pada masa yang sama memupuk budaya inovasi dan memiliki nilai yang tinggi bagi tujuan pengedaran untuk memenuhi kehendak industri yang semakin meningkat.
Kerjasama antara Karangkraf dan Astro adalah selaras dengan strategi utama Astro dalam menguasai pemilikan bersama kandungan IP utama yang mempunyai daya tarikan serantau dan memenuhi aspirasi syarikat untuk menjadi pembekal, pengumpul dan pengedar utama kandungan di Asean. Hari ini Astro telah menguasai sebanyak 71% daripada keseluruhan isi rumah di Malaysia merangkumi 21 juta individu menerusi semua platform paparan manakala Kumpulan Media Karangkraf pula memiliki 15 juta pembaca merentasi penerbitan bercetak dan aset digital.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI