Nak Masak Ikan? Ini 8 Perkara Kena Tahu Supaya Lauk Ikan Kita Sedap

Share

Ikan memang sedap dimakan sebab dagingnya lembut. Ikan juga sesuai untuk orang yang sedang diet. Tapi nak masak ikan tak semudah masak ayam. Kena ambil tahu perkara penting pasal ikan supaya masakan ikan kita lebih sedap.

Tidak kira ikan sungai atau ikan laut, ikan adalah sumber protein terbaik untuk tubuh. Tetapi, lecehnya ikan segar tidak lari daripada bau hanyir, susah disiang dan kadang-kadang bila digoreng mudah melekat pada kuali atau hancur isinya bila digulai. Sakit hati jadinya.

Untuk semua masalah ini,RASA kongsikan 8 petua di bawah ini. Semoga boleh mengatasi semua masalah anda berkaitan ikan.

8 PERKARA KENA TAHU PASAL IKAN

1) Cara Mudah Buang Sisik Ikan

Anda nak masak ikan tapi ikan itu jenis yang susah nak ditanggalkan sisiknya. Cara mudah nak tanggalkan sisik ikan adalah rendam ikan dalam air dan biarkan sekejap. Kemudian kikis sisik ikan dalam air rendaman tadi. Cara ini lebih mudah berbanding jika anda tanggalkan sisik di atas papan pemotong.

2) Hilangkan Bau Hanyir Ikan

Ikan yang anda beli kuat baunya? Jangan risau. Ini cara hendak hilangkan bau hanyir ikan. Ambil 2 sudu kecil cuka. Kalau tiada cuka, boleh juga guna perahan limau nipis atau limau kasturi. Gaul cuka aau perahan limau tadi pada ikan. Kemudian biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air bersih. Jangan lupa tabur sedikit garam untuk hilangkan rasa macam cuka itu tadi.

Selain itu, anda boleh gunakan asam jawa. Caranya gaul rata asam jawa pada ikan. Selepas 10 minit, cuci dengan air bersih.

Cara lain, gunakan air basuhan beras untuk membasuh ikan. Selepas ikan itu anda cuci bersih, rendam ikan dengan air basuhan beras selama 10 minit. Kemudian dicuci lagi dengan air bersih.

3) Teknik Ikan Garing Apabila Digoreng

Ikan goreng lebih sedap kalau garing. Nak tahu caranya? Sebelum goreng, gaulkan ikan bersama garam dan serbuk kunyit. Kemudian campurkan sedikit serbuk kunyit dalam minyak panas untuk menggoreng ikan. Goreng  ikan seperti biasa. Cara kedua, campurkan serbuk kunyit, garam dan sedikit bawang putih yang telah dikisar pada ikan. Lumurkan rata dan perap beberapa minit. Kemudian goreng ikan seperti biasa. Garing dan sedap ikan tu nanti.

4) Ikan Tidak Melekat Pada Kuali Semasa Digoreng

Jika ikan melekat pada kuali, ikan itu akan jadi tidak cantik. Ini cara nak elak ikan melekat pada kuali. Masukkan sekeping asam gelugor dalam minyak masak untuk menggoreng ikan. Setelah minyak masak itu panas, goreng ikan seperti biasa. Pasti ikan cepat garing dan tidak melekat.

5) Ikan Sejuk Beku Segar Semula

Ikan sejuk beku atau yang disimpan lama dalam peti sejuk akan berasa tawar dan tidak segar. Hal ini boleh diatasi dengan merendamkan ikan tersebut dalam susu segar selama 15 minit. Kemudian masaklah seperti biasa. Ikan akan segar semula dan enak dimakan. Susu segar yang telah digunakan untuk merendam ikan, jangan pula diminum ya!

6) Ikan Bakar Lebih Sedap

Jika ingin ikan bakar lebih sedap rasanya, selepas dicuci ikan tersebut hendaklah diperapkan dengan sedikit asam jawa dan air. Biarkan selama beberapa minit sebelum dibakar atau dipanggang.

7) Ikan Segar Walaupun Disimpan Lama

Cara mengekalkan kesegaran ikan sangat mudah. Siang semua ikan tetapi jangan dicuci. Masukkan ikan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk. Ikan akan tetap segar walaupun disimpan lebih seminggu dalam peti sejuk.

8) Telur Ikan Tidak Pecah

Masukkan telur ikan yang anda hendak masak ke dalam plastik. Rebus telur ikan dengan plastik itu lebih kurang lima minit. Keluarkan telur ikan daripada plastik dan masak seperti biasa.

Moga bermanfaat dengan tip yang kami sediakan. Nah, di bawah ini resipi Sup Ikan Siakap untuk korang cuba.

Sup ikan kalau hanyir memang tak membuka selera. Kali ini RASA ingin kongsikan resipi sup ikan siakap yang sangat sedap. Resipi ini dikongsikan oleh Haerme Abd Rahman di facebook group RASA Share Resepi. Jom cuba.

SUP IKAN SIAKAP


.

BAHAN REMPAH SUP HOMEMADE
1/2 sudu kecil ketumbar
1/2 sudu kecil jintan putih dan jintan manis
1/2 sudu kecil lada sulah biji dan lada hitam
4 biji cengkih
2 helai daun salam
2 ulas bawang putih kering
1 inci halia kering
2 kuntum bunga lawang

CARA BUAT REMPAH SUP HOMEMADE
Sangai semua bahan dan kisar kering.



.
BAHAN SUP
300 gram tulang lembu
2 inci halia (diketuk)
Minyak masak untuk menumis
3 labu bawang merah (hiris) (BELI DI SINI)
4 ulas bawang putih (hiris) (BELI DI SINI)
1 inci halia (hiris) (BELI DI SINI)
1 sudu besar rempah sup homemade
2 biji tomato (potong kecil)
3 tangkai daun sup dan daun bawang
Garam secukup rasa (BELI DI SINI)
1 ekor ikan siakap
1 biji limau nipis
Daun sup, daun bawang (dihiris)
Bawang goreng
6 tangkai cili padi

CARA MEMBUAT SUP
1. Dalam periuk, rebus tulang lembu kemudian masukkan halia. Biarkan mendidih.

.

.

.

2. Dalam kuali, masukkan minyak masak. Tumis bawang putih, bawah merah dan halia sehingga sedikit garing.

.

3. Masukkan rempah sup homemade. Tumis lagi.
4. Kemudian masukkan bahan tumisan dalam periuk rebusan tulang tadi.

5. Masukkan tomato dan daun sup yang disimpul. Perasakan dengan garam. Biarkan mendidih lagi.

.

6. Masukkan ikan. Terus tutup api dan tutup periuk. Biarkan dalam keadaan ini selama 15 minit.
7. Kemudian perah limau nipis, tabur daun sup, daun bawang, bawang goreng dan cili padi.
.

.

Selamat mencuba!

Kredit gambar hiasan: pixabay

Sumber: Facebook Haerme Abd Rahman

NAK RESIPI LAIN? Klik sini:
https://rasa.my/lelaki-ini-olah-roti-jadi-biskut-kering-bergula-kreatif-sungguh/
https://rasa.my/perghhh-mantap-sungguh-gulai-ikan-tenggiri-paling-power-ni/

Jom tengok video ni
https://www.youtube.com/watch?v=8z9E4CUDm5Q&list=PLeFxvDQwYge2Z4S3GiUhGD-X4hTKVMcL_&index=7

 

Published by
Maryam Elyas