Kulit popia bila sudah disimpan lama sangat dalam peti sejuk beku atau terdedah lama pada udara, akan jadi kering dan keras. Bila nak asingkan kepingan, akan jadi koyak. Nak dibuang sayang lebih-lebih lagi kalau kulit popia tu masih banyak. Jika anda mengalami masalah yang sama, cuba petua perkongsian saudari Bee Keng ini. Boleh jadi lembut balik macam baru dan boleh elakkan pembaziran.
CARA LEMBUTKAN KEMBALI KULIT POPIA YANG KERAS DAN KERING
BAHAN-BAHAN:
Kulit popia
Kuali atau periuk kukusan
Kain bersih
CARA-CARA:
1. Dalam kuali atau periuk kukusan, lapiskan lubang-lubang dulang pengukus dengan kain bersih yang lembap. (empunya petua masak dulu kain bersih untuk pastikan ia tiada kuman)
**Kain lembap bukan basah ya.. maksudnya ia perlu diperah hingga betul-betul kering tiada air menitis langsung.
2. Letakkan kulit popia tersebut dan tutupkan dengan satu lagi kain bersih yang lembap.
3. Pastikan air tidak terlalu banyak atau paras air jangan terlalu dekat dengan dulang pengukus, kalau tidak semasa air mendidih, ia akan membuatkan kulit popia jadi basah.
4. Stim @ kukus kulit popia tadi selama 10-15 minit.
5. Buka penutup periuk kukusan dan pastikan kulit popia betul-betul lembut. Jika masih belum lembut, stim kan lagi.
NOTA:
- Semasa mahu diangkat, alihkan kulit popia tersebut sekali dengan kain atas dan bawah ke dalam pinggan. Ia akan mengekalkan kelembapan sehingga kulit popia habis dimakan atau digunakan.
- Namun ia tidak boleh dibiarkan terlalu lama sehingga berseharian, sebab kain lembap boleh menyebabkan kulit popia tersebut basi.
- Kalau tak habis dinasihatkan disimpan terus ke dalam peti sejuk dan masa mahu makan baru dikukus lagi.
- Sebenarnya, cara penyimpanan juga memainkan peranan yang penting untuk pengelakkan kulit popia menjadi kering dan keras. Untuk mengelakkan kulit popia keras, selepas dibuka dan disimpan balik dalam peti sejuk beku (freezer), pastikan mulut pembukaan plastik kulit popia dilekat dengan tape sehingga kedap udara (saya guna tape yang lebar).
- Namun kadang-kadang kalau disimpan terlalu lama ia akan hilang kelembapan, kering dan keras juga. Tetapi ia tidak seteruk yang plastiknya dibiarkan terbuka dan terus masuk freezer, yang ini bukan sahaja kering malah kulitnya pun turut pecah dan merekah.
- Untuk pengetahuan semua, orang cina suka makan popia yang tak goreng. Selamat mencuba!
Kredit petua & foto: Bee Keng
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Mudahnya Buat Sendiri Sup Cendawan Ala Pizza Hut & Roti Bawang Putih
Buat Jemput-Jemput Berinti Durian. Resipi Mudah, Terlajak Sedap
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI