
Begedil ayam atau daging semestinya antara sajian yang menjadi kegemaran ramai. Selain dijadikan pelengkap dalam sajian Soto, Lontong dan sebagainya, Begedil Ayam ini juga sedap dimakan begitu sahaja. Anak-anak pun suka. Jadi bagi anda yang suka hidangan ini, bolehlah cuba resipi perkongsian saudari Noor Ashikin Saerah ni. Mudah, sedap dan jimat. Boleh juga di sejukbekukan. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
RESIPI BEGEDIL AYAM MINI
BAHAN-BAHAN: ( dapat 46 biji saiz mini)
- 1.5kg/ 15 ketul ubi kentang
- 400gm/ 1 bungkus ayam kisar berkualiti tinggi @ isi ayam yang telah dicarik
- 1 cawan bawang goreng
- 1 cawan hirisan daun sup & daun bawang
- 2 ½ sudu teh serbuk lada putih
- Garam secukupnya rasa
- 3 biji putih telur saiz AA
CARA MEMASAK:
1. Kupas ubi kentang dan cuci bersih. Kukus sehingga kentang lembut. Sejukkan.
2. Lecek kentang sehingga lumat.
3. Campurkan ayam kisar yang telah dicuci, bawang goreng, hirisan daun sup & daun bawang, lada putih & garam bersama dengan kentang lenyek. Gaul sampai sekata.
4. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian. (Empunya resipi timbang setiap doh dengan berat 25gm setiap satu). Bulatkan & bentukkan agar lebih cantik dan kemas.
5. Panaskan minyak, salutkan doh begedil dengan putih telur dan goreng sehingga berwarna keemasan.
6. Setelah masak, toskan minyak berlebihan. Sedia untuk dihidangkan & diratah begitu sahaja.
Nota:
– Kentang boleh juga digoreng dahulu sebelum dilecek hingga lumat.
– Jangan balik-balikkan begedil dengan kerap ketika menggoreng supaya begedil tidak pecah.
Kredit resipi & foto: Noor Ashikin Saerah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI