Pecal adalah antara sajian masyarakat Jawa yang tidak asing lagi dikalangan rakyat Malaysia terutamanya bila tiba bulan Ramadan. Ia juga sesuai dimakan pada bila-bila masa sama ada sarapan pagi, makan tengahari atau pun malam. Rahsia keenakannya terletak pada kuah. Kalau ‘power’ kuahnya, maka sedaplah pecal anda. Nak cuba? Resipi ini pasti memukau selera.
CARA MASAK PECAL PUCUK UBI
BAHAN-BAHAN:
300gm pucuk ubi |dibuang tangkai
BAHAN KUAH KACANG:
150gm kacang tanah | goreng tanpa minyak
3 sudu besar gula perang atau pasir
1 biji cili merah | dihiris
5 biji cili padi
2 ulas bawang putih | dihiris
2 biji bawang merah | dihiris
1cm halia | dihiris
Sedikit belacan
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya
Sedikit minyak masak
CARA MEMASAK:
1. Goreng kacang tanah tanpa minyak hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
2. Masak air di dalam periuk dan celur pucuk ubi hingga lembut. Kemudian angkat, tos dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak, goreng bawang merah, putih, halia, cili merah dan cili padi hingga kekuningan. Angkat dan toskan minyaknya.
4. Goreng pula belacan, angkat dan ketepikan.
5. Kacang yang telah digoreng tadi buangkan kulitnya, kemudian tumbuk hingga hancur, ketepikan.
6. Selepas kacang, tumbuk pula bahan goreng tadi hingga sebati. Tambahkan sedikit air asam dan garam secukupnya.
7. Masukkan bahan ini dalam bekas berisi kacang tumbuk tadi bersama gula perang atau putih. Gaul rata hingga sebati.
8. Bancuh sambal pecal dengan air panas sehingga menjadi kuah yang tidak terlalu cair atau pekat. Jika kurang garam atau gula boleh tambah.
9. Akhir sekali tuangkan kuah kacang atas pucuk ubi, gaul rata dan sedia dihidangkan.
ANDA JUGA BOLEH CUBA: