
Telur bungkus antara lauk mudah dan menjadi kegemaran anak-anak. Kalau ke kedai makan, menu ni antara yang paling banyak dipesan pelanggan. Terasa nak berbuka dengan menu telur Bungkus hari ni? Ini resipi step by step mudah perkongsian saudari Nor Shakinah Md Zainal yang boleh dicuba.
RESIPI TELUR BUNGKUS SEDAP

BAHAN INTI:
- Isi ayam – dipotong kecil
- 2 ulas bawang putih – dicincang
- 1/2 biji bawang besar – dipotong dadu
- 1/4 batang lobak merah – dipotong dadu
- 1/2 biji tomato – dipotong dadu
- Sedikit cili merah
BAHAN LAIN:
- 2 biji telur
- 2 sudu makan sos cili
- 2 sudu makan sos Thai
- 1 sudu makan sos tiram
- Secubit garam
- Sedikit air
- Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih.

2. Masukkan ayam dan kacau seketika.

3. Seterusnya masukkan sos cili, sos Thai, sos tiram. Kacau sebati. Tambahkan juga sedikit air dan secubit garam.

4. Masukkan lobak merah dan bawang besar. Biarkan masak selama 1-2 minit.

5. Tambahkan tomato dan cili. Kacau rata. Siap.

6. Pecahkan telur dalam mangkuk, tambah sedikit garam dan pukul sebati.

7. Panaskan kuali dengan sedikit minyak dan masukkan telur yang dipukul tadi.

8. Lenggang telur hingga nipis dan memenuhi kuali.

9. Isikan inti yang dimasak tadi. Bungkus dengan kemas.

10. Ambil pinggan dan letakkan seperti ini. Terbalikkan.

11. Siap untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Nor Shakinah Md Zainal
ANDA JUGA BOLEH CUBA:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Kari Telur Parpu Sedap Dimakan Panas

Di kalangan orang Utara, Kari Telur Parpu memang terkenal khasnya bagi masyarakat di Pulau Pinang. Ia sangat mudah dibuat menggunakan kacang parpu. Boleh juga diganti dengan kacang dhall mengikut cita rasa masing masing. Sesuai buat untuk menu tengah hari mahupun malam.
KARI TELUR PARPU
Bahan-bahan:
1 cawan kacang dhal/parpu di rebus sehingga empuk
3 biji telur ayam
1/2 kotak santan
Bahan tumbuk kasar :
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
3 sudu rempah kari daging
1 keping asam keping
Bahan Tumis Darat
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Sedikit halba campur
2 tangkai daun kari
3 batang cili kering hiris 3 bahagian
Minyak untuk menumis
Cara memasak:
1. Dalam periuk rebusan kacang dhal tadi masukkan bahan tumbuk kasar, rempah kari daging, kentang dan sedikit air, rebus sehingga mendidih
2.Setelah ubi empuk masukkan santan
3.Kemudian pecahkan telur dan jgn di kacau sehingga telur masak
4.Sesuaikan rasa dengan garam dan gula
5.Tutup api.
Tumis darat
1.Di dalam kuali panaskan minyak dan tumis semua bahan tumisan darat
2.Bawang telah garing dan bangkit bau wangi terus tuang kesemuanya ( bersama minyak) ke dalam periuk kari tadi dan segera tutup periuk agar aroma tumisan tadi tidak keluar dan meresap ke dalam kuah kari
3.Tunggu dalam 2 minit baru kari parpu telur sedia untuk di hidangkan.
Makan bersama nasi panas dan ikan masin goreng memang sedap teruk! Cubalah.
Kredit : Rozelkitchen
ANDA MUNGKIN SEDANG MENCARI AIR FRYER UNTUK MEMUDAHKAN KERJA MENGGORENG DAN MEMASAK. DAPATKAN PELBAGAI PILIHAN DI SINI.
Resipi Sup Telur Mudah, Anak Kata Paling Sedap Di Dunia

Pada seorang anak air tangan ibu adalah yang paling sedap. Walau masakan paling ringkas seperti sup telur ini, bagi anak-anak empunya resipi Nora Azni ia tetap terpaling sedap di dunia.
Kalau yang lain nak cuba sup telur ini pun boleh, disertakan sekali resipinya.
Resipi sup telur ringkas tapi terpaling sedap
Bahan-bahan
4 biji telur ayam
7 biji fishball (belah dua)
1/2 batang lobak merah (belah dua dan potong biasa)
3 ulas bawang putih (dicincang)
Kiub pati ayam (guna separuh)
Lada sulah
Garam
2 gelas air putih (jika banyak telur lebihkan air untuk kuah)
Minyak masak

Cara memasak
1. Panaskan satu sudu besar minyak masak, tumiskan bawang putih. Tumis sehingga bawang nampak kuning dan garing sikit. Kemudian masukkan lobak merah.
2. Tambahkan dua gelas air putih. Perasakan dengan kiub pati ayam, garam dan sedikit lada sulah. Bila kuah dah mendidih. Kecilkan sedikit api dapur.
3. Pecahkan telur sebiji ke dalam mangkuk dan dituang ke dalam periuk. Ulang sampai habis telur. Biar sampai telur masak, jangan kacau supaya telur tak hancur.
4. Bila semua telur masak elok boleh masukkan fishball. Dah masak, tutup api. Sebelum hidang tabur bawang goreng dan daun sup.
Sumber: Nora Azni
Koleksi Resipi Mudah Yang Boleh Masak Guna Kicap Manis.

Menu yang cepat siap dan mudah memang digemari ramai. Antara menu pilihan termasuklah hidangan berasaskan kicap sememangnya ringkas disediakan dan boleh dipelbagaikan. RASA berkongsi resipi berasaskan kicap yang pastinya menepati cita rasa anda.
1. DAGING GORENG KICAP BERCILI

BAHAN-BAHAN:
- 400gm daging |hiris nipis
- 30ml kicap manis
- 10gm sos tiram
- 8 biji cili padi |ditumbuk kasar
- 4 ulas bawang putih|dicincang
- 3cm halia |dihiris nipis
- 1 labu bawang besar |potong bulat
- 1 tangkai daun bawang |dipotong seinci
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Tabur sedikit garam, lada sulah dan serbuk kunyit ke atas daging. Goreng garing dan ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali, tumis bawang putih dan halia sehingga wangi.
- Masukkan cili padi, bawang besar, kicap dan sos tiram.
- Masukkan daging yang telah digoreng bersama daun bawang, garam dan lada sulah secukup rasa.
Info Chef: Pilih kacang bendi yang masih muda untuk memastikan ia rangup ketika digoreng.
2. HATI AYAM KICAP PEDAS

BAHAN-BAHAN:
- 300gm hati ayam
- 45ml kicap manis
- 15 biji cili padi |dikisar
- 4 ulas bawang merah |dikisar
- 2 ulas bawang putih|kisar
- 1 labu bawang besar |potong bulat
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Lumur sedikit garam dan lada sulah pada hati ayam. Goreng garing dan ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bersama bahan-bahan kisar sehingga cili masak.
- Masukkan bawang besar, hati ayam yang telah digoreng terlebih dahulu dan kicap. Kacau sebati.
- Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
Info Chef: Penggunaan garam boleh dikurangkan memandangkan hati ayam telah diperasa dengan garam ketika proses menggoreng.
3. IKAN CELUP TEPUNG KICAP CILI PADI

BAHAN-BAHAN:
- 5 ketul isi ikan merah
- 45ml kicap manis
- 10 biji cili padi|dikisar
- 5 ulas bawang merah |kisar
- 3 ulas bawang putih |kisar
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- Tepung jagung secukupnya
CARA MEMASAK:
- Lumur sedikit garam dan lada sulah pada isi ikan. Salut isi ikan dengan tepung jagung kering dan goreng sehingga garing di dalam minyak yang banyak. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar sehingga cili menjadi masak.
- Masukkan ikan goreng tepung dan kicap manis. Gaul sebati.
- Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
Info Chef: Penggunaan ikan merah boleh digantikan dengan menggunakan ikan jenahak atau ikan tenggiri.
4. IKAN GORENG KICAP SAMBAL

BAHAN-BAHAN:
- 3 ekor ikan kembung
- 3 sudu makan kicap manis
- 10 biji cili padi |dikisar
- 4 ulas bawang merah|dikisar
- 2 ulas bawang putih |dikisar
- 1 batang serai |dikisar
- 1 labu bawang besar|dipotong bulat
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- Sedikit serbuk kunyit
CARA MEMASAK:
- Bersihkan ikan yang telah siap dikelar-kelar kemudian lumur sedikit garam dan serbuk kunyit lalu digoreng di dalam minyak yang banyak sehingga garing. Asingkan seketika.
- Panaskan minyak, kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi.
- Tuangkan kicap dan tambah bawang besar, garam dan lada sulah secukup rasa.
- Masukkan ikan goreng dan gaulkan sehingga sebati.
Info Chef: Penggunaan ikan kembung boleh digantikan dengan menggunakan ikan selar.
5. IKAN TONGKOL KICAP BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:
- 4 ketul ikan tongkol
- 45ml kicap manis
- 20gm serbuk ketumbar
- 20gm serbuk jintan manis
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 5 ulas bawang putih|cincang halus
- 1 labu bawang besar|dibelah empat
- 1 biji cili merah |dipotong serong
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Lumur ikan tongkol dengan sedikit garam dan digoreng sehingga garing. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga wangi.
- Masukkan serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan kicap. Didihkan seminit.
- Masukkan ikan tongkol yang telah digoreng bersama bawang dan cili merah.
- Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
Info Chef: Ikan tongkol amat enak dimakan apabila ia digoreng bersama rempah
6. MACKEREL GORENG BERKICAP

BAHAN-BAHAN:
- 5 ketul mackerel (dalam tin)
- 45ml kicap manis
- 15ml sos cili
- 1 labu bawang besar |potong bulat
- 2 biji cili merah |hiris serong
- 1 biji cili hijau |hiris serong
- 3cm halia muda|hiris nipis
- 2 ulas bawang putih |dicincang
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Goreng ikan mackerel sehingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
- Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih sehingga wangi.
- Masukkan bawang besar, halia, cili merah dan cili hijau.
- Masukkan kicap manis dan sos cili.
- Masukkan ikan mackerel goreng dan tambahkan garam dan lada sulah secukupnya.
Info Chef: Pastikan anda mengambil ikan mackerel tanpa kuahnya di dalam tin.
7. SOTONG MASAK KICAP

BAHAN-BAHAN:
- 10 ekor sotong |bersihkan
- 1 batang lobak merah|potong baji
- 30ml kicap manis
- 4 ulas bawang putih|cincang
- 1 labu bawang besar|potong bulat
- 1 biji cili merah|potong serong
- 4cm halia muda|dihiris nipis
- 5gm serbuk lada hitam
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia sehingga wangi.
- Masukkan sotong, lobak merah dan kicap. Didihkan sehingga sotong menjadi lembut.
- Tambah bawang besar, cili merah dan serbuk lada hitam.
- Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
Info Chef:Pastikan sotong dibasuh bersih bagi mengelakkan ia tidak tahan lama
8. TAUHU TELUR BERKICAP

BAHAN-BAHAN:
- 3 biji tauhu telur
- 1 batang lobak merah |dihiris nipis
- 1 tangkai daun bawang |dipotong seinci
- 30ml kicap manis
- 3 ulas bawang putih |dicincang
- 1 labu bawang besar |dibelah empat
- 3cm halia muda|dihiris nipis
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Potong tauhu telur menjadi kiub kecil lalu digoreng garing. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia sehingga wangi.
- Tuangkan kicap kemudian tambahkan lobak merah dan sedikit air.
- Tambah daun bawang, garam, lada sulah secukup rasa.
- Masukkan tauhu telur goreng dan gaulkan sehingga sebati sebelum dihidangkan.
Info Chef:Tauhu telur tidak boleh dimasak terlalu lama bagi mengekalkan tekstur dan bentuknya.
9. UDANG KICAP BERHALIA

BAHAN-BAHAN:
- 4 ekor udang galah
- 45ml kicap manis
- 1 labu bawang besar |dipotong bulat
- 1 biji cili merah |dipotong serong
- 1 biji cili hijau |dipotong serong
- 4cm halia muda |dihiris nipis
- Garam secukup rasa
- Lada hitam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Lumurkan udang dengan sedikit garam dan lada sulah. Goreng sehingga masak dan susun di dalam pinggan.
- Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan halia.
- Masukkan cili merah,cili hijau dan kicap.
- Tambah garam, serbuk lada hitam dan lada sulah secukup rasa.
- Tuang bahan tumisan kicap ke atas udang goreng dan siap untuk dihidangkan.
Info Chef:Pemilihan udang harimau atau udang galah amat sesuai untuk menu ini sebagai pelengkap rasa kicap yang masin dan udang yang enak.

