Jika sebelum ini Maliza Ghani dari Manisa Cafe pernah berkongsi hidangan nasi dan lauk pauk raya, kali ini Min nak kongsi 3 lagi lauk makanan laut yang biasa kita dengar ikan bersos lemon, sambal sotong kering dan udang mentega daripadanya.
Sebagai ‘pakar’ masakan yang dah lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan makanan, sudah tentulah kepakarannya sukar ditandingi. Lain orang lain cara masakannya. Tapi resipi Maliza ni bukan sahaja senang dibuat, tapi tak sampai 20 minit dah siap. Dah cuba nanti baru tau…
1. ISI IKAN DORI BERSOS LEMON
BAHAN-BAHAN :
- 3 keping fillet @isi ikan dory (150-200 gm tiap keping)
BAHAN SOS :
- 1/2 cawan minyak masak
- 2 biji bawang besar | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- 500 ml air
- 1 biji lemon | perah jus dan parut kulitnya
- 1 sudu makan tepung jagung | dibancuh sedikit air
- Beberapa titik jus pewarna kuning
- 1 biji cili benggala | dipotong kiub
- 2 biji tomato | dipotong kiub
- 1/2 biji nenas | dipotong dadu
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN SALUTAN ISI IKAN :
- 1/2 cawan tepung jagung
- 1 cawan tepung gandum
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Goreng dulu fillet ikan dori (disalut tepunghingga garing, ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang besar, bawang putih dan cili benggala hingga naik bau.
3. Masukkan air, jus lemon dan parutan kulit lemon, kacau hingga rata.
4. Masukkan tomato dan nenas, perasakan dengan garam dan gula.
5. Curahkan sos di atas isi ikan dori yang digoreng tadi. Sedia dihidang.
Saiz hidangan : 10 orang
Masa memasak : 20 minit
Cara memasak : Goreng Minyak Penuh
Keistimewaan : Mudah dan cepat dimasak
Anggaran kos : RM 15
INFO CHEF : Ikan dori biasanya dijual dalam bentuk sejuk beku. Biarkan ais mencair dahulu dan anda boleh membasuh dengan memasukkan sedikit cuka dan kemudian basuh dengan air seperti biasa. Perapkan sebentar dengan bawang putih dan lada hitam sebelum digolek ke dalam tepung.
2. SAMBAL SOTONG KERING
BAHAN-BAHAN :
- 1/2 kg sotong kering |direndam dahulu dengan air abu selama 3 jam
BAHAN DIKISAR :
- 10 tangkai cili kering | direbus sebelum dikisar
- 2 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 1/4 keping belacan bakar
- 3 biji buah keras
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- 1 sudu makan air asam jawa
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan -bahan kisar.
2. Tumis sehingga naik bau dan pecah minyak
3. Masukkan sotong dan biarkan ia masak.
4. Masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula. Biarkan mereneh sebentar dengan api kecil dan padamkan api.
5. Sajian siap dihidang
Saiz hidangan : 5- 6 orang
Masa memasak : 20 minit
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis masakan : Sambal
Keistimewaan : Selain nasi lemak sambal sotong kering sedap dimakan dengan nasi dan nasi impit.
Anggaran kos : RM 25
INFO CHEF : Nisbah air abu dan air paip boleh diguna 1:10 bahagian. Bilaskan sebanyak dua kali sebelum dipotong untuk dimasak. Atau anda boleh juga merendam dalam air panas selama sejam selepas dibilas.
3. UDANG GORENG MENTEGA
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg udang
- 1/2 sudu makan serbuk kunyit
- Garam secukup rasa
- * Perap sebentar dan goreng dengan minyak masak
BAHAN SARANG TELUR :
- 2 biji kuning telur
- 1 senduk mentega atau marjerin
- 1 cawan minyak masak
BAHAN SOS BUTTERMILK :
- 2 sudu makan mentega
- 5 biji cili padi | dihiris
- 1 tangkai daun kari
- 1/2 tin susu cair
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK :
Sarang telur :
1. Pukul ringan kuning telur.
2. Panaskan mentega/margerin bersama minyak masak.
3.S ebaiknya gunakan senduk bulat. Bila minyak dalam kuali sudah betul betul panas, pusing pusingkan minyak dengan senduk laju- laju membentuk bulatan sehala tanpa henti.
4. Kemudian tuangkan kuning telur tadi, tuang tinggi sedikit supaya telur jatuh ke dalam kuali bertekstur halus.
5. Teruskan pusing minyak tu laju laju dan tuang hingga habis. Pusing terus senduk tu sehingga telur itu masak berwarna keemasan.
6. Setelah masak tuangkan ke dalam tapis seperti tapis santan besi untuk toskan minyaknya.
Udang mentega :
1. Goreng udang, toskan minyak dan ketepikan
2. Kemudian panaskan mentega dan masukkan cili padi, daun kari hingga naik bau.
3. Kemudian masukkan susu cair dan biarkan masak sebentar.
4. Masukkan udang dan perasakan dengan garam dan gula
5. Setelah masak bolehlah diletakkan udang di atas sarang telur tadi atau jika suka anda boleh juga taburkan sarang telur di atasnya.
Saiz hidangan : 5- 6 orang
Masa memasak : 20 minit
Cara memasak : Goreng dan tumis
Keistimewaan : Pedas berkrim dan rasa berlemak mentega dan susu
Anggaran kos : RM 50
Info Chef : Pilih udang segar berdaging pejal, dan usah masak terlalu lama untuk kekal berjus dan manis.
Terima kasih : Manisa Cafe, 16, Jalan Presiden F U1/F, Accentra Glenmarie, Shah Alam, Selangor. FB :manisacatering, IG:manisa_catering
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI