Kalau teringin nak makan steak, mesti korang makan kat luar dan makan pun sekali sekala, maklum jelah harga sepinggan steak pun boleh tahan. Kalau selalu sangat makan kat luar parah dibuatnya. Apa kata korang cuba buat steak sendiri di rumah dan sos boleh dipelbagaikan. Nak tahu macam mana cara buat sos steak, Ini RASA kongsikan cara buat sos steak, bukan satu ye, tapi lima jenis sos sekali. Senang dan jimat banyak kalau buat sendiri.
SOS CENDAWAN
Kalau suka sos yang creamy dengan tekstur pekat, korang boleh buat sos cendawan yang sedap seperti disediakan oleh kebanyakan restoran western. Caranya mudah je, dan ikut resipi ini:-
Bahan-Bahan:
- 200gm cendawan butang (dihiris)
- 50gm mentega
- 2 ulas bawang putih (cincang)
- 1 sudu makan mustard
- 2 sudu makan whipping cream
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Memasak, korang panaskan mentega, kemudian tumis bawang putih, hingga wangi kemudian masukkaan cendawan, kacau rata hingga layu. Kemudian tambah mustard dan whipping cream, terus kacau hingga pekat. Akhir sekali lengkapkan rasa dengan memasukkan serbuk lada hitam, garam dan gula secukup rasa. Tak sampai lima dah siap, dan siram pada steak yang telah siap digrill.
SOS LADA HITAM
Sos ini adalah sos wajib ada di kebanyakan restoran western yang menyediakan menu steak dan paling disukai ramai. Rasanya yang sedap creamy dan sedikit pedas lada hitam memang boleh ketagih dibuatnya. Jangan risau ye, ini caranya kalau korang nak cuba.
Bahan-Bahan:
- 1 sudu makan mentega
- 1 ulas bawang putih |cincang
- 1 sudu teh lada hitam | kisar kasar
- 1/2cawan air stok ayam
- 1 sudu makan kicap masin
- 1 sudu makan sos lada hitam
- 1/2 sudu makan tepung jagung
- 2 sudu makan susu makan susu cair
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak mudah je, korang panaskan mentega dalam kuali, tumis bawang putih, apabila wangi, tambahkan kicap, sos lada hitam. Kacau rata dan masukkan air stok ayam, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kecilkan api, kemudian masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air dan tambahkan susu cair dan serbuk lada hitam sebagai penambah perisa, Memang terbaik rasanya.
SOS TOMATO
Sos ini sangat mudah dan bahannya memang sedia ada di dapur kebanyakan rumah korang semua. Cuma rasanya sedikit pedas dan masam. Untuk menyediakan sos ini anda perlu ada:-
Bahan-Bahan:
- 50gm mentega
- 2 biji tomato segar | dadu halus
- 2 sudu makan sos tomato
- 2 ulas bawang putih | cincang halus
- 1 sudu makan daun ketumar | cincang halus
- 2 sudu makan pes cili kering
- 1/2 cawan air stok ayam
- 1/2 sudu makan tepung jagung | bancuh dengan sedikit air
- Garam dan gula secukup rasa
- Keju parmesan secukupnya atau ikut cita rasa
Cara memasaknya, korang panaskan mentega dan tumis bawang putih hingga kekuningan. Kemudian masukkan pes cili, kacau rata, diikuti oleh sos tomato. Seterusnya masukkan air stok ayam, kacau rata dan tambahkan tomato cincang. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Kecilkan api, masukkan tepung jagung dan terus kacau hingga pekat. Tutup api dan tuangkan atas steak dan taburkan keju parmesan di atasnya. Memang mantap sedapnya.
SOS SALSA VERDE
Sos berasal dari Itali ini berwarna hijau, sangat sedap dan sedikit rasa masam, sangat sesuai di makan dengan steak medium rare. Aromanya yang kuat boleh menghilangkan rasa hanyir steak. Macam mana nak buat, ini caranya:-
Bahan-Bahan:
- 2 sudu makan daun peterseli | hiris halus
- 2 sudu makan daun bawang | hiris halus
- 2 sudu makan daun pudina | hiris halus
- 2 ulas bawang putih | cincang halus
- 1 sudu teh capers
- Sedikit hirisan ikan masin
- 1 biji lemon | ambil jusnya
- 3 sudu makan minyak zaitun
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasaknya, semua bahan hirisan daun peterseli, bawang dan pudina dimasukkan dalam mangkuk, kemudian tambahkan cepers hirisan ikan masin dan bawang putih yang telah dicincang. Gaul rata dan tambahkan jus lemon dan minyak zaiton. Lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya. Gaul rata. Sos sedia dihidangkan bersama steak yang baru saja dipanggang.
SOS TERIYAKI
Jika ingin steak dengan sos cita rasa Jepun, korang boleh cuba dengan sos teriyaki. Sos ini kaya dengan rasa manis dan masin, sesuai untuk yang tidak suka pedas. Cara menyediakannya juga senang. Korang hanya perlu sediakan:-
Bahan-Bahan:
- 5 sudu makan kicap masin
- 5 sudu makan air sejuk
- 1 ulas bawang putih |cincang
- 2 cm halia | hiris halus
- 1 sudu makan madu
- 1/2 sudu makan tepung jagung | bancuh dengan sedikit air
- Garam dan gula secukup rasa
Untuk menyediakannya, campurkan semua bahan kecuali tepung jagung, garam dan gula.Gaul rata, kemudian renehkan atas dapur menggunakan api sederhana setelah mendidih, kecilkan api dan tambahkan tepung jagung, kacau rata kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Setelah siap, boleh tuangkan sos di atas steak bakar dan untuk penambah rasa boleh taburkan sedikit bijan yang telah digoreng sangai.
Wau korang pasti hebat menyediakan steak dalam pelbagai rasa dan paling penting sangat menjimatkan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI